Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 10 MEI 2021: Pihak polis tidak akan memberi peluang kepada mereka yang melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh Daerah Kuantan bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ini kerana semua peraturan dan perkara yang digariskan bukanlah satu perkara baharu kepada orang ramai.
“Kita pernah melalui PKP fasa pertama, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan sebagainya.
“Jadi semua peraturan, semua perkara yang telah digariskan ini, semua dah tahu. Jadi saya nampak tidak ada alasan untuk mengatakan tidak tahu atau pun perlu lagi nak pihak petugas memberi peluang,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) Tanjung Lumpur berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di daerah Kuantan berkuatkuasa 12.01 pagi, hari ini.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan ini perlu bagi membendung wabak COVID-19 daripada terus merebak jika tiada kawalan tegas dilakukan.
“Pada saya, mudah sahaja, patuhi perkara yang telah ditetapkan, dia akan jadi mudah. Tak perlu takut kepada pihak penguatkuasa kerana kami menjalankan tugas, menjaga semua masyarakat dan juga menjaga diri kami juga.
“Masyarakat perlu menjaga diri masing-masing, InsyaAllah akan menjadi baik. Jadi kami akan jalankan operasi berterusan, pemeriksaan berterusan, penguatkuasaan berterusan. Jadi saya yakin masyarakat faham dan menerima tindakan kita ini,” katanya.
Beliau turut meminta masyarakat supaya memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak petugas di semua sekatan jalan raya yang dijalankan.
“Mudah sahaja iaitu mematuhi segala peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan bila melalui sekatan jalan raya, permudahkan semakan oleh pihak petugas di mana menyediakan kalau perlu dokumen, tunjuklah dokumen, ada kebenaran atau arahan daripada majikan untuk bergerak.
“Sekiranya ada kecemasan, juga pergerakan ini mesti mendapat permit daripada pihak polis, seperti kecemasan, kematian dan sebagainya. Saya selalu nyatakan supaya perkara ini kalau dokumen, perlu juga ada kesahihannya, jadi pihak kami mudah untuk meluluskan.
“Ini menjadi satu dokumen yang sangat penting apabila melalui sekatan jalan raya, bukan sekatan jalan raya di daerah Kuantan sahaja, di daerah lain pun. Jadi jangan timbulkan masalah, dan patuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya. – PAHANGMEDIA