Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
KUANTAN, 9 MEI 2021: Rakyat perlu bimbang dengan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini yang sehingga kini menyebabkan kadar penggunaan kapasiti kesihatan di hospital-hospital awam di Pahang menghampiri 50 peratus.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, kenaikan penggunaan ini sangat cepat berbanding minggu lalu yang hanya sekitar 30 peratus sahaja penggunaan kapasiti kesihatan.
“Itu yang kita bimbang… Jika di Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 20 orang amat menakutkan. Setakat ini ada 10 pesakit dirawat di ICU.
“Sekarang ini semua katil ICU sudah hampiri 50 peratus, kalau trend menaik berterusan dalam masa seminggu ini kita bimbang kemudahan tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui media selepas melawat proses saringan COVID-19 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.
Beliau yang juga lagi, beliau juga bimbang dengan keadaan kakitangan kesihatan yang mungkin terjejas dengan kadar peningkatan kes COVID-19 di Pahang.
“Pusat kuarantin kita tidak risau sebab boleh buat sebanyak mungkin, tetapi yang kita bimbangi adalah katil di hospital dan ICU. Jika kes COVID-19 tidak menurun saya bimbang hospital tidak mampu untuk menampung kemudahan pesakit.
“Sebab itu kita buat keputusan drastik semalam untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuantan. Saya minta orang ramai supaya tidak perlu keluar rumah jika tidak ada keperluan pasa masa ini,” katanya.
Sementara itu, mengenai prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri, beliau berkata, setakat ini belum ada keputusan mungkin sehari dua lagi akan dikeluarkan.
“Cuma saya harapkan jangan disebabkan perayaan ini menyebabkan berlaku penularan COVID-19 dengan cepat. Saya bimbang dengan trend di Pahang yang agak menaik, namun pada hari ini nampak bertahan sedikit, harap esok atau lusa bertahan,” katanya. – PAHANGMEDIA