Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
KUANTAN, 28 APRIL 2021: Penjawat awam Pahang menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Pahang pimpinan YAB Menteri
Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas pemberian Bantuan Khas
Kewangan RM1,000 bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Bagi mereka Bantuan Khas Kewangan RM1,000 INI dapat membantu meringan
beban dalam membuat persiapan bagi menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut seorang penjawat awam Pahang, Badrulzaman Abdul Rahman, 46, sumbangan ini amat bermakna baginya dan menyatakan penghargaan kepada YAB Menteri Besar yang mengumumkan pemberian itu hari ini.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih dan syukur kepada Allah SWT kerana mendapat bonus sebanyak RM1,000… Terima kasih kepada Tok Wan. InsyaAllah akan digunakan sebaik mungkin untuk keperluan hari raya nanti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kerajaan Pahang hari ini bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan
RM1,000 kepada kesemua kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri ini, bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, penjawat awam dimaksudkan itu
meliputi semua gred, melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM8 juta.
Katanya, Pejabat Kewangan Negeri akan segera melakukan urusan susulan agar pembayaran dapat dibuat pada 7 Mei ini dan turut mendapat
pemberian ini sebagai sagu hati Kerajaan Negeri, ialah penjawat awam Persekutuan bergred JUSA C dan ke atas, yang berkhidmat di negeri ini.

Sementara itu, bagi seorang lagi penjawat awam Pahang, Norehan
Zakaria, 33, dengan Bantuan Khas Kewangan RM1,000 ini dapat
membantunya membeli keperluan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Terima kasih kepada MB Pahang atas keprihatinan dalam membantu kami penjawat awam membuat persiapan awal menjelang Aidilfitri,” katanya yang juga kakitangan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Seorang lagi kakitangan awam, Mohd. Saiful Bahari Kasim berkata, 37, Bantuan Khas Kewangan RM1,000 ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Dengan itu ia telah mengembirakan dan membuka ruang Aidilfitri yang bersinar-sinar kepada seluruh penjawat awam di Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA