Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd. Rahim
KUANTAN, 24 FEBRUARI 2020: Kini, dengan adanya aplikasi pintar ‘PahangFA’ yang diperkenalkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), peminat bola sepak tempatan tidak perlu lagi beratur panjang untuk membeli tiket perlawanan.
Melalui aplikasi PahangFA, pengguna boleh membuat pembelian tiket perlawanan bola sepak secara dalam talian dan hanya perlu mengimbas kod QR mereka di pintu masuk stadium menggunakan telefon pintar mereka pada hari perlawanan.
Pengurus Pasukan Pahang, YH. Dato’ Mohammed Suffian Awang berkata, PBNP menjadi pasukan pertama di negara ini yang memperkenalkan aplikasi pintar Pahang FA untuk penonton membeli tiket perlawanan melibatkan Pahang.

“Aplikasi pintar ini merupakan satu fenomena dan gaya hidup baharu dekad ni, justeru ia amat bersesuaian dengan kehendak masyarakat terutama golongan muda.
“Dengan aplikasi pintar yang direka cipta untuk Pahang FA, orang ramai boleh membeli tiket secara dalam talian tanpa perlu beratur panjang bagi mendapatkan tiket di mana ia mula diguna pakai pada perlawanan pertama Pahang musim ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jersi, Pengenalan Pasukan dan Mobile Apps Persatuan Bolasepak Negeri Pahang di sini hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.
Beliau berkata, harga tiket bagi musim ini ialah RM10 bagi kerusi tanpa bumbung, RM13 kerusi berbumbung dan RM23 bagi grandstand di mana setiap orang dihadkan untuk membeli empat keping tiket sahaja.
Difahamkan, tiket perlawan masih lagi dijual di stadium seperti biasa, namun kaedahnya tetap menggunakan kod QR untuk masuk ke dalam stadium. -PAHANGMEDIA