YAB. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan sumbangan komputer riba kepada seorang penerima di Indera Mahkota hari ini.

TERHARU TERIMA KOMPUTER RIBA PERCUMA DARIPADA KERAJAAN PAHANG

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib

KUANTAN, 22 APRIL 2021: Tiada apa yang dapat dizahirkan dua beranak ini selain perasaan terharu sejurus menerima seunit komputer riba daripada Kerajaan Pahang yang disampaikan sendiri oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.

Bagi Puan Nina Suhana Abdullah, 44, sumbangan ini amat bermakna bagi keluarganya apatah lagi selama ini kelima-kelima anaknya yang masih bersekolah terpaksa berkongsi telefon pintar untuk melakukan kerja sekolah.

Menurut ibu kepada enam anak itu, beliau dan anaknya Muhammad Fakhri Ahlami Mohd Jamil, 17, amat bersyukur apabila terpilih menerima komputer riba sumbangan Kerajaan Pahang itu.

Muhammad Fakhri Ahlami Mohd Jamil, 17, menunjukkan komputer riba daripada Kerajaan Pahang yang disampaikan sendiri oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.

“Saya amat bersyukur dengan pemberian kamputer riba ini. Memang saya dan suami (Mohd Jamil Mohd Alias, 46) tidak mampu untuk membeli komputer riba ini kerana pendapatan yang tidak seberapa.

“Saya tidak sangka menerima sumbangan ini daripada Kerajaan Pahang apatah lagi lagi ia disampaikan sendiri oleh YAB. Menteri Besar Pahang. InsyaAllah komputer riba ini akan digunakan sebaik mungkin oleh anak untuk pembelajarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas menerima sumbangan komputer riba yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang di rumahnya di Indera Mahkota di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan Pengarah JKM Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin.

Sementara itu, adik Muhammad Fakhri Ahlami yang bersekolah di SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad berkata, komputer riba ini akan digunakan sebaik mungkin olehnya untuk mendapat keputusan yang cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pemberian komputer riba ini sememangnya membantu kemudahan kepada saya belajar terutamanya secara dalam talian. Saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM seterusnya ingin mengubah nasib keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang memperuntukan bantuan 1,000 unit komputer riba berjumlah RM1.5 juta untuk disumbangkan kepada pelajar di bawah senarai Bantuan Kanak-kanak (BKK) Pahang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

“Diharap bantuan meringankan sedikit kegusaran calon SPM yang bakal menduduki peperiksaan SPM yang memerlukan peranti tersebut untuk membuat rujukan dan latihan secara atas talian.

“InsyaAllah jika kedudukan kewangan Kerajaan Pahang berada dalam keadaan yang baik, kita akan teruskan pemberian komputer riba ini pada tahun hadapan. Mungkin boleh ramaikan lagi penerima namun bergantung kepada kedudukan kewangan negeri,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download