YAB. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang kepada wakil maahad tahfiz yang mendaftar dengan MUIP.

89 MAAHAD TAHFIZ BERDAFTAR TERIMA SUMBANGAN BANTUAN PRIHATIN PAHANG

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 20 APRIL 2021: Sebanyak 89 buah maahad tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menerima sumbangan Bantuan Prihatin Pahang daripada Kerajaan Negeri dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1 juta.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan ini adalah salah satu daripada Bantuan Prihatin Pahang yang diumumkan oleh beliau dalam Belanjawan Pahang 2021 tahun lalu.

“Selain itu, dalam Bantuan Prihatin Pahang juga kita turut menghargai bakti imam-imam kariah, Kerajaan Negeri memperuntukkan sumbangan secara one-off sebanyak RM750 seorang kepada seramai 1,032 imam seluruh Negeri Pahang dengan jumlah peruntukan RM774,000.

“Selain itu, tidak dilupakan juga jasa bilal dan siak, Kerajaan Negeri memperuntukkan sumbangan secara one-off sebanyak RM250 seorang yang melibatkan seramai 888 bilal dan 889 siak seluruh Negeri Pahang dengan jumlah peruntukan RM444,250,” katanya.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang Kepada Maahad Tahfiz Berdaftar Dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Oleh YAB Menteri Besar di Hotel Grand DarulMakmur di sini hari ini.

Turut hadir, YB Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, Barisan EXCO Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH Dato’ Ahmad Hairi Hussain.

Beliau berkata, semua sumbangan yang diberi ini menunjukkan politik di Pahang dalam keadaan stabil dan seterusnya tidak mengganggu pentadbiran Kerajaan Pahang dalam membantu rakyat.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang Kepada Maahad Tahfiz Berdaftar Dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Oleh YAB Menteri Besar di Hotel Grand DarulMakmur di Kuantan.

“Malah kedudukan kewangan Pahang yang stabil dan baik membolehkan Kerajaan Negeri menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap sumbangan kepada maahad tahfiz ini dapat dimanfaat sewajarnya oleh pihak pengurusan demi meningkat mutu pembelajaran dan pengajian anak-anak tahfiz. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download