Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 19 APRIL 2021: Pendaftaran bagi Program Imunisasi Covid-19 di negeri ini direkodkan sebanyak 32.8 peratus sahaja berbanding sasaran sebanyak 70 peratus yang ditetapkan oleh Kerajaan Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata peratusan tersebut merupakan pendaftaran yang direkodkan bagi suntikan imunisasi melalui MySejahtera dan ia dilihat masih rendah berbanding sasaran.
“… dan kira-kira 25 peratus sahaja telah mendaftar melalui Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP) berbanding sasaran kita iaitu 70 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penduduk Pahang.
“Dan setakat Jumaat lepas, pendaftaran penerimaan suntikan vaksinasi Covid-19 bagi Fasa 2 melalui MySejahtera di negeri ini ialah seramai 115,726 orang daripada 362,909 keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksinasi di Wisma Belia, Indera Mahkota di sini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah; dan Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan.
Beliau berkata jumlah yang rendah ini mungkin disebabkan beberapa faktor termasuklah faktor berkaitan geografi negeri ini.
“Jumlah yang rendah di Pahang ini disebabkan jarak yang jauh, dan penduduk kita ini termasuklah masyarakat Orang Asli, dan disebabkan keadaan geografi yang jauh itu mungkin menjadi salah satu sebab.
“Yang kedua, ia disebabkan sikap tunggu dan lihat kerana kita dengar macam-macam cerita yang tidak benar walhal kita dapati tidak ada apa pun. Jadi mungkin disebabkan oleh itulah ada yang ragu-ragu untuk mengambil vaksin ini,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri sentiasa bersedia dari segi pemberian suntikan imunisasi ini kepada merek yang telah berdaftar.
“Daripada segi persiapan, daripada pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, kita tidak ada masalah, kita memang sentiasa bersedia untuk memberi suntikan kepada mereka yang telah berdaftar ini,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang akan mengadakan satu mesyuarat khas esok bagi mencari jalan meningkatkan pendaftaran bagi program ini di negeri ini.
“Untuk meningkatkan lagi kesedaran ini, Kerajaan Negeri akan memperhebatkan lagi kempen walaupun sebelum ini kita telah minta Majlis Tindakan Sosial Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Kesihatan Daerah, Tok Empat untuk membuat hebahan dan sebagainya, saya rasa ini masih belum mencukupi.
“… dan InsyaAllah, kita akan perhebatkan lagi (usaha) dan esok kita akan adakan satu mesyuarat khas bagaimana kita nak mempertingkatkan pendaftaran kepada rakyat di negeri Pahang,” katanya.
Beliau turut berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dengan mendaftar bagi menerima suntikan imunisasi ini bagi memperlahankan penyebaran wabak Covid-19.
“Saya harap kita semua mainkan peranan supaya segera mendaftarkan dengan MySejahtera ataupun SICP supaya mereka ini dapat diberikan suntikan vaksin Covid-19 kerana kita juga bimbang, kita dapati sejak akhir-akhir ini ada berlaku peningkatan wabak ini bukan sahaja di Pahang malah di negeri lain.
“Jadi kalau sekiranya kita cepat mengambil vaksin ini saya percaya sekurang-kurangnya ia dapat memperlahankan peningkatan wabak Covid-19 dan sekaligus mungkin kita boleh mengurangkan (penularan wabak Covid-19) sehabis minima yang mungkin,” katanya. -PAHANGMEDIA