Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 19 APRIL 2021: Bazar Ramadan Balok dekat sini menjadi bazar pertama ditutup oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) selepas didapati gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, penutupan ini dilaksanakan bagi memastikan bazar ini dapat memperkemaskan SOP perjalanan bazar.

“Kita mengambil keputusan menutup sementara bazar ini, semalam. Keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan oleh pasukan Task Force yang mendapati bazar ini tidak mengamalkan SOP yang telah digariskan.
“Namun demikian, bazar ini akan dibuka kembali sekiranya pihak pengajur bazar dapat mengemaskan SOP dan memastikan ia diikuti sepenuhnya oleh peniaga dan pengunjung,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di Wisma Belia di sini hari ini.
Menurut beliau, arahan penutupan bazar berkenaan bukanlah bersifat mengejut tetapi ia dilakukan setelah pemantauan dijalankan terlebih dahulu.
“Kita mengambil keputusan menutup bazar ini setelah pasukan Task Force melakukan pemeriksaan pada Sabtu lalu.
“Arahan penutupan itu dilaksanakan selepas didapati bazar tersebut tidak mengambil suhu pengunjung, tiada pendaftaran masuk menggunakan MySejahtera, malah laluan sehala tidak disediakan dan pengunjung berusia 12 tahun ke bawah turut dibenarkan masuk,” katanya. – PAHANGMEDIA