Oleh: Fansurina Abdullah
KUANTAN, 19 APRIL 2021: Khabar kemenangan insentif sebanyak RM1,000 selepas mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 melalui Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP) merupakan rezeki terpijak buat Encik Muhammad Amin Muhammad Zain, 49.
Katanya, beliau tidak menyangka terpilih sebagai pemenang yang bertuah kerana niatnya mendaftar menerusi SICP hanyalah sebagai sokongan kepada pihak Kerajaan Pahang.
“Saya berbangga kerana terpilih sebagai pemenang kerana mendaftar sebagai penerima vaksin, namun sebelum ini saya tidak pernah memenangi sebarang peraduan atau pertandingan.
“Selepas saya diumumkan sebagai pemenang, ramai kenalan dan ahli keluarga yang turut sama mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi SICP dan ahli keluarga saya pun semuanya telah mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi SICP,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.
Encik Muhammad Amin yang kini bertugas di sebuah hotel di Genting Highlands mengakui pihak majikannya mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat di tempat kerja namun tetap meminta semua pekerja mendaftar sebagai penerima vaksin.
Beliau yang akan menerima vaksin dos kedua pada 1 Mei ini turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memperkenalkan insentif RM1,000 kepada pendaftar penerima vaksin. – PAHANGMEDIA