Encik Muhammad Azizi Haji Khalid yang menerima insentif RM1,000 daripada Kerajaan Pahang selepas mendaftar melalui Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang (SICP).

KAKITANGAN AWAM TAK SANGKA TERIMA INSENTIF DARIPADA KERAJAAN PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 19 APRIL 2021: Seorang kakitangan awam tidak menyangka dipilih untuk menerima insentif sebanyak RM1,000 daripada Kerajaan Pahang selepas mendaftar menerima vaksin melalui Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang (SICP).

Pendaftar ke-50,000 dari Pekan, Encik Muhammad Azizi Haji Khalid menyifatkan sumbangan berkenaan umpama bonus yang tidak disangka kerana beliau mendaftar SICP disebabkan rasa tanggungjawab.

“Saya tidak sangka dapat insentif ini kerana saya daftar macam biasa sahaja, bila YAB Menteri Besar umum suruh daftar, itu yang saya daftar.

“Saya sendiri tak tahu nama saya terpilih, dapat tahu pun bila kawan dari Bentong bagitahu saya menang RM1,000 dari Kerajaan Negeri,” katanya yang merupakan penjawat awam di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Pekan.

Beliau yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) kerana penyakit angin ahmar sejak lima tahun lepas mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang dengan pemberian insentif ini.

“Saya terkejut, gembira, bersyukur, macam-macam perasaan lagi yang tak terkata bila dapat baucer ini kerana kebetulan rumah saya berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), jadi bila berada dalam keadaan susah ini, dapat pula bantuan macam ini, terima kasih sangat.

“Saya bercadang membahagikan baucer yang saya dapat ini kepada keluarga saya, keluarga mertua dan kegunaan sendiri. Malah keluarga saya turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri diatas pemberian tak disangka ini,” katanya.

Beliau turut meminta rakyat di negeri ini untuk mendaftar bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 sebagai cara membantu diri dan keluarga sendiri selain bertanggungjawab kepada masyarakat dan negeri. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download