Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah ketika memantau jambatan di Sungai Beletir dekat Kampung Sungai Putat, Jerantut.

JAMBATAN BAILEY AKAN DIBINA DI KAMPUNG SUNGAI PUTAT

JERANTUT, 19 APRIL 2021: Sebuah jambatan Compact Bailey akan dibina di Sungai Beletir dekat Kampung Sungai Putat di sini bagi menggantikan jambatan lama yang rosak akibat banjir awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, beliau telah berbincang dan mengutarakan permasalahan penduduk kepada Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bagi memohon segera pembinaan sebuah Jambatan Compact Bailey di sungai berkenaan.

Jambatan di Sungai Beletir dekat Kampung Sungai Putat, Jerantut.

“YB Dato’ Sri Ismail Sabri bersimpati dengan masalah penduduk di sini lalu segera meluluskan pembinaan jambatan Compact Bailey sebagai alternatif bagi menggantikan laluan yang dibina menggunakan batang kelapa dan kayu hutan secara bergotong-royong pada minggu lalu.

“Terima Kasih kepada YB Dato’ Sri Ismail Sabri kerana mengambil tindakan segera dan mendengar keluh kesah rakyat di Jerantut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Tawar berkata, jambatan kecil Sungai Beletir ini mengalami kerosakan teruk akibat musim tengkujuh pada awal tahun ini dan membahayakan penduduk setempat kerana ia adalah laluan utama berhubung bagi penduduk ke pusat bandar, sekolah, tempat kerja dan laluan hasil pertanian.

“Justeru apabila siap jambatan baharu ini nanti, penduduk di tiga buah kampung kawasan itu dapat berulang alik ke bandar serta pelajar ke sekolah dengan selesa dan selamat,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download