Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
SOP RAMADAN TIDAK HALANG UMAT ISLAM BERIBADAH
Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 15 MAC 2021 : Kerajaan Pahang mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang bulan Ramadan bagi membolehkan perlaksanaan ibadah pada bulan penuh berkat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, antara amalan yang sering diamalkan adalah solat sunat tarawih berjemaah yang diadakan di masjid dan surau.
Namun katanya, SOP khusus perlu diwujudkan bagi memastikan penularan wabak pandemik Covid-19 dapat dikawal sekali gus umat Islam dapat menunaikan ibadah sunat seperti tahun-tahun sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika ditemuramah hos rancangan Bicara Pahang, Nurul Ain Nadhirah Basharludin.
“Kerajaan Negeri mewujudkan SOP ini supaya umat Islam tahun ini dapat mengimarahkan Ramadan di masjid-masjid tetapi dalam waktu yang sama kita mahu penularan Covid-19 tidak berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Bicara Pahang yang disiarkan menerusi laman Facebook Pahang Media, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai terutama jemaah perlu mematuhi setiap SOP yang telah ditetapkan termasuklah jangka masa beribadah di masjid, tidak berkumpul dalam kumpulan yang ramai.
Malah katanya, pada tahun ini, Kerajaan Negeri turut menetapkan bahawa tiada penglibatan imam dari luar negeri Pahang bagi mengelak penularan wabak. Malah katanya, iftar juga perlu dikawal ketat dan tidak semeriah suasana Ramadan sebelum ini kerana setiap hidangan perlu dibungkus.
Beliau berharap umat Islam dapat mematuhi setiap SOP dalam melaksanakan apa sahaja ibadah di bulan Ramadan ini bagi membolehkan bulan puasa kali ini dapat dilaksanakan lebih baik daripada tahun sebelumnya. – PAHANGMEDIA