Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 14 APRIL 2021 : Penularan berita di media sosial berkenaan tiada kutipan sampah selama dua minggu di daerah ini adalah tidak benar.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang, YH. Encik Sharudin Hamid dalam satu kenyataan media menafikan berita berkenaan dan memberitahu terdapat sedikit perubahan dari segi masa dan tarikh kutipan.
“Berikutan penularan satu kenyataan di media sosial berkaitan “Pandai-pandailah buang sampah sendiri, lori sampah tidak bergerak selama 2 minggu”, pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang mengesahkan berita yang ditularkan adalah tidak benar.
“SWCorp Pahang ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi seluruh daerah Kuantan yang dijalankan oleh syarikat konsesi, Alam Flora Sdn Bhd dijangkakan berlaku sedikit perubahan dari segi masa dan tarikh bagi tempoh lima sehingga 10 hari bermula dari tarikh kenyataan ini dikeluarkan,” ujar beliau dalam kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, ia berikutan untuk memberi laluan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pencegahan penularan Covid-19 yang dijalankan ke atas warga kerja dan petugas pembersihan di seluruh daerah ini.
“Langkah proaktif telah diambil oleh pihak Alam Flora Sdn Bhd dengan mengatur petugas pembersihan tambahan untuk mengambil alih kerja-kerja kutipan dan pembersihan awam sepanjang tempoh terlibat.
“Sehubungan dengan itu, SWCorp Pahang menasihatkan orang ramai untuk merujuk laman media sosial rasmi SWCorp Pahang di pautan https://m.facebook.com/SWCorpPahangMalaysia/ untuk mendapatkan maklumat yang jelas dan tepat.
“Sebarang aduan boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Aduan Sisa (1-800-88-7472),” menurut kenyataan tersebut.
Beliau turut meminta kerjasama daripada masyarakat untuk meneruskan amalan kebersihan dan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca (SAS) dan pihaknya turut merasa kesal dengan kesulitan yang timbul daripada keadaan ini. -PAHANGMEDIA