Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjaya menamatkan Kursus Asas Sniper semalam selepas menjalani latihan selama empat minggu di Melaka.

KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG TAMAT KURSUS ASAS SNIPER

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

BENTONG, 9 APRIL 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjaya menamatkan Kursus Asas Sniper semalam selepas menjalani latihan selama empat minggu di Melaka.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas kejayaan menamatkan Kursus Asas Sniper petang semalam.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Komputer Riba Kepada Sekolah-Sekolah Terkesan Banjir di Genting Highland

“Patik sungguh kagum dan teruja melihat ketangkasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menembak tepat ke sasaran, untuk ketiga-tiga kategori yang ditetapkan.

“Ketepatan penembakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku terus mengingatkan patik kepada filem-filem barat, yang mengisahkan tentang kehebatan penembak-penembak tepat yakni sniper atau turut dikenali sebagai ‘marksman’.

“Ketangkasan seorang sniper atau ‘marksman’ yang patik fahami, bukanlah calang-calang. Pelbagai faktor diambil kira, termasuklah dalam penentuan jarak serta aliran dan kelajuan angin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Komputer Riba Kepada Sekolah-Sekolah Terkesan Banjir di Genting Highland di sini hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang berkenan berangkat menyempurnakan majlis berkenaan dan turut berkenan menyampaikan sumbangan komputer riba kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah.

Sumbangan berbentuk barangan berupa 100 buah komputer riba bernilai keseluruhan RM300,000 adalah dari Kerajaan Republik Rakyat China buat Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada Kerajaan Pahang.

Turut hadir, Tuan Yang Terutama Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Encik Ouyang Yujing, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim.

Majlis pemakaian lencana sniper dan penyampaian Sijil Kursus Asas Sniper kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain di Lapangsasar 600 Meter, Kem Terendak, Melaka.

Baginda Tuanku telah menghadiri Kursus Asas Sniper selama empat minggu bermula 15 Mac hingga 7 April lalu bertempat di Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat (PULPAK), Kem Sungai Udang.

Kursus ini terbahagi kepada tiga fasa meliputi kelas teori, latihan menembak di lapangsasar serta latihan dan ujian aplikasi medan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download