Seorang wanita mendengar penerangan sebelum menjalankan ujian mamogram percuma Negeri Pahang di Pahang Medical Centre (PMC), Kuantan hari ini.

40 WANITA KUMPULAN PERTAMA SERTAI UJIAN MAMOGRAM

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 9 APRIL 2021: Seramai 40 wanita dari Parlimen Indera Mahkota menjadi kumpulan pertama menyertai pemeriksaan mamogram percuma yang diberikan oleh Kerajaan Pahang menerusi bantuan RM1.5 juta kepada 6,000 wanita B40 di seluruh negeri ini.

Puan Hajah Wan Napiah Wan Yusof.

Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Parlimen Indera Mahkota, Puan Hajah Wan Napiah Wan Yusof berkata, pihaknya membawa seramai 40 wanita yang telah mendaftar dari kawasan Dewan Negeri (DN) Beserah yang akan menerima pemeriksaan mamogram yang dilakukan di Pahang Medical Centre (PMC), di sini.

“Bantuan RM150 seorang kepada 6,000 wanita B40 di negeri ini merupakan suatu inisiatif yang baik daripada Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang diterajui YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, yang sangat prihatin terhadap keperluan wanita di luar sana terhadap saringan kesihatan terutama kanser payudara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika ditemui pada Program Ujian Mamogram Percuma Negeri Pahang di Pahang Medical Centre (PMC), di sini, hari ini.

Fauziah Mat Juah, 63,

Sementara itu, seorang peserta, Puan Fauziah Mat Juah, 63, berkata, pengalaman kali kedua melakukan ujian mamogram ini merupakan pengalaman berbeza berbanding sebelum ini kerana kemudahan dan kecanggihan teknologi yang digunakan.

“Pemeriksaan kali ini sedikit berbeza berbanding sebelum ini kerana teknologi yang semakin canggih dan saya bersyukur kerana Kerajaan Pahang menyediakan bantuan seumpama ini kepada golongan wanita bagi memastikan wanita di negeri ini sihat serta dapat melakukan pengesanan awal penyakit kanser payudara yang merupakan pembunuh nombor satu wanita,” katanya.

Halimah Mat, 61.

Seorang lagi peserta, Puan Halimah Mat, 61, berkata, bantuan seumpama ini adalah sangat baik terutama untuk wanita luar bandar untuk membuat saringan kesihatan payudara secara percuma dan saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

Kesemua 6,000 wanita yang telah mendaftar untuk membuat ujian mamogram ini akan menjalani pemeriksaan secara berperingkat di PMC dan beberapa hospital terpilih sepanjang 2021 ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download