Oleh: Fansurina Abdullah
KUANTAN, 6 APRIL 2021: Ibadah solat sunat Tarawih berjemaah di masjid dan surau di seluruh Pahang dibenarkan sepanjang bulan Ramadan namun hanya sehingga jam 10 malam sahaja.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain solat sunat Tarawih, umat Islam juga dibenarkan melaksanakan amalan ibadah lain termasuklah tazkirah (selepas solat Zohor), tadarus dan khatam al-Quran (selepas Subuh), moreh, qiamulail dan sahur (10 malam terakhir Ramadan).
Beliau berkata, kesemua aktiviti tersebut boleh dilaksanakan di semua masjid dan surau dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan Negeri selain pemantauan berkala yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Solat Tarawih akan bermula dengan solat Isyak berjemaah dan solat sunat Tarawih, Witir, Wirid, tahlil dan doa adalah dibenarkan manakala jamuan makan seperti iftar, moreh dan sahur perlu dibungkus mengikut SOP yang telah ditetapkan.
“Semua perolehan/penyediaan makanan berbungkus hendaklah dibuat mengikut piawaian/syarat penyediaan makanan yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penyediaan makanan secara gotong-royong adalah dilarang sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Tambahnya, semua aktiviti ibadah juga perlu dilakukan di kawasan lokaliti masing-masing dan jumlah jemaah adalah berdasarkan kapasiti ruang solat dengan kawalan pihak masjid dan surau.
“Imam dari luar negeri Pahang termasuk dari pondok dan maahad tahfiz, penyertaan pelajar sekolah berasrama, jemaah di bawah umur tujuh tahun, bermalam di masjid/surau, tazkirah Tarawih dan perkumpulan jemaah adalah tidak dibenarkan sama sekali.
“Pihak berkuasa akan menjalankan pemantauan mengejut ke mana-mana masjid dan surau serta berhak membatalkan kebenaran melakukan aktiviti ibadah,” katanya.
Beliau berkata, pihak masjid atau surau bertanggungjawab memastikan pematuhan SOP di premis masing-masing bagi mengelakkan pembatalan kebenaran perlaksanaan aktiviti keagamaan di sepanjang Ramadan nanti.
“Pembatalan kebenaran aktiviti di masjid atau surau boleh dilakukan sekiranya gagal mematuhi SOP dan mengawal jemaah, jumlah jemaah melebihi kapasiti serta aktiviti dilakukan di luar waktu yang dibenarkan,” katanya.
Sementara itu, katanya, kaunter zakat fitrah juga dibenarkan dibuka selepas solat subuh sebelum Maghrib bergantung kepada SOP yang akan dikeluarkan oleh pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Beliau berharap semua pihak dapat mematuhi SOP yang ditetapkan agar umat Islam dapat menunaikan ibadah pada Ramadan kali ini sekali gus dapat membendung penularan wabak pandemik COVID-19 di Pahang. – PAHANGMEDIA