Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 05 APRIL 2021 : Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) diberi tempoh setahun oleh YAB Menteri Besar Pahang untuk memastikan ahlinya memenuhi empat teras utama yang dipegang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau memberi tempoh berkenaan untuk melihat sama ada ahli MAMPAN dapat membuktikan apa yang dinyatakan.
“Empat teras utama yang dijadikan panduan oleh MAMPAN adalah kebolehpasaran kerja, kepimpinan, kemandirian ekonomi dan keterlihatan.
“Untuk menyatakan semua ini memang mudah tetapi untuk jadikan ianya sebagai kenyataan memang payah. Jadi saya cabar MAMPAN, saya nak tengok dalam tempoh setahun untuk laksanakan empat teras ini.
“Kita nak tengok, selepas setahun, berapa orang ahli MAMPAN yang berjaya dalam kebolehpasaran, berapa orang terlibat dalam kepimpinan, berapa orang yang menceburi kemandirian ekonomi dan yang keterlihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Apresiasi Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) 2021 di Dewan Kediaman Rasmi YAB Menteri Besar Pahang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH Dato’ Mahmud Mohd Nawawi.
Beliau berkata, MAMPAN perlu berusaha kuat bagi memastikan ianya dapat dicapai dalam tempoh diberikan.
“Saya suka sangat sebab kalau boleh praktikal dan lebih penting, action… Di mana MAMPAN perlu berusaha ke arah itu.
“MAMPAN kena fikir macam mana nak dapatkan ilmu, kena buktikan kerana sebagai anak muda, MAMPAN kena ada ilmu, kena cari ilmu tambahan. Saya nak MAMPAN ada di mana-mana sahaja, bukannya bermusim sahaja,” katanya. -PAHANGMEDIA