YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan sumbangan daripada Felcra kepada salah seorang peserta pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Dewan Negeri (DN) Bebar di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan hari ini.

“TAK SEMESTINYA LULUS TERUS LANTIK” – MB PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali

PEKAN, 02 APRIL 2021 : “Jangan salah faham, tak semestinya lulus terus lantik,” ujar YAB Menteri Besar Pahang ketika diminta mengulas mengenai lantikan Ahli Dewan Negeri (ADN) tanpa proses pilihan raya di negeri ini.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata apa yang diputuskan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November lepas adalah berkaitan perubahan enakmen.

“Kita tak kata nak lantik (lima ADN), tetapi kita cuma meluluskan (usul meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang).

“Saya minta Dewan Undangan Negeri meluluskan enakmen untuk melantik lima ADN tanpa melalui proses pilhan raya. Itu enakmen, bukan nak dilantik. Beza tu. Melantik lima orang dengan meluluskan, lain,” katanya.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan geran tanah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Dewan Negeri (DN) Bebar kepada seorang penerima pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Dewan Negeri (DN) Bebar di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Dewan Negeri (DN) Bebar di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Negeri, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad; Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; ADN Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Haji Mahmud; ADN Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali; ADN Chini, YB. Mohd Sharim Haji Md. Zain; Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli; dan Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Pahang, YH. Haji Nor Zahari Zakaria.

Mengulas mengenai cadangan waktu bagi lantikan kelima-lima ADN berkenaan, beliau berkata Kerajaan Negeri masih belum mempunyai sebarang cadangan setakat ini.

Untuk rekod, pada sidang DUN Ke-14 pada November lepas, telah meluluskan usul bagi meminda Perkara 18 Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang untuk melantik lima ADN tanpa melalui proses pilihan raya dan ia diluluskan dengan suara majoriti Ahli Dewan.

Pindaan ini dibuat bagi membolehkan lantikan lima ADN daripada golongan berkaliber, memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat dan berorientasikan rakyat bukannya politik.

Menurut pindaan tersebut, lantikan kelima-lima ADN hendaklah atas usul tujuh ADN serta mendapat kelulusan majoriti mudah, selain mereka boleh mengambil bahagian dalam perbahasan dan berhak mengundi. Walau bagaimanapun, ADN dilantik itu tidak layak untuk dipilih sebagai Menteri Besar atau menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO). -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds