Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 02 APRIL 2021 : Kerajaan Pahang menjangkakan perkembangan positif dalam industri pelancongan di negeri ini pada tahun ini walaupun masih berdepan dengan pandemik Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata ini berikutan jumlah pelancong yang direkodkan pada tahun lepas adalah separuh daripada jumlah tahun sebelumnya.

“Memang kalau nak ikutkan semasa wabak COVID-19 tahun lepas, masa Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang teruk, kita (Pahang) masih dapat 7 juta kehadiran pelancong. Iaitu lebih 50 peratus daripada tahun sebelumnya.
“Jadi kita jangkakan lebih perkembangan positif dalam industri ini pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Pemadanan Perniagaan Antara Pemain Industri Pelancongan di Menara Kuantan 188, di sini, semalam yang turut dihadiri oleh 100 pemain industri negeri ini.
Menurut beliau lagi, ini berikutan produk pelancongan yang pelbagai ada ditawarkan di negeri ini yang menarik pelancong untuk berkunjung.
“Pahang ini antara negeri yang menjadi pilihan pelancong kerana banyak produk pelancongan yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor.
“Kalau untuk ke pantai, Pahang ada pantai sepanjang 270 kilometer (km), kita ada sungai, hutan, pulau, gunung, kawasan tanah tinggi dan pelbagai lagi tarikan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan Kerajaan supaya menjadikan pemain industri pelancongan di negeri ini sebagai barisan hadapan.
“Saya nak mecadangakan juga supaya Kerajaan berikan special treatment kepada tourism. Di mana Kerajaan menberikan keutamaan kepada pemain industri pelancongan untuk mendapatkan suntikan vaksin.
“Ini bagi memastikan pelancong bertambah yakin untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan, dan kita kena ingat, industri ini (pelancongan) adalah penyumbang ketiga terpenting untuk ekonomi negara,” katanya. -PAHANGMEDIA