Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norulazali Sulaiman dan Ahli Dewan Negeri Damak, YB Tuan Haji Zuridan Mohd Daud bersama pengurusan tahfiz persendirian Negeri Pahang serta pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mengadakan perbincangan berkaitan isu survelan COVID-19 yang dikenakan kepada pelajar tahfiz, pondok dan madrasah di Pahang di Klinik Kesihatan Paya Luas, Bera hari ini.

COVID-19 : PENGURUSAN TAHFIZ PUAS HATI PENJELASAN JKNP

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

BERA, 23 MAC 2021 : Pihak pengurusan tahfiz persendirian Negeri Pahang berpuas hati dengan penjelasan daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) berkaitan tindakan survelan COVID-19 yang dikenakan kepada pelajar tahfiz, pondok dan madrasah di negeri ini.

Dalam satu pertemuan yang dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norulazali Sulaiman, lima wakil daripada pihak pusat tahfiz, dan wakil daripada JKNP serta Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Bera yang mengambil masa kira-kira tiga jam, telah menyelesaikan kekeliruan yang timbul sebelum ini.

YB. Dato’ Sri Norulazali berkata hasil pertemuan tersebut kedua-dua pihak bersetuju dengan tiga perkara bagi menambah baik perlaksanaan survelan kepada pusat-pusat tahfiz ini.

“Kita bersetuju untuk menangguhkan sementara survelan di semua pusat tahfiz dan pondok dalam Negeri Pahang sehingga taklimat berkaitan perkara ini dilaksanakan kepada wakil pengurusan pusat tahfiz yang terlibat. Ini bagi memberi penjelasan dan kefahaman mengenai sebab perkara ini dibuat.

“Kita juga akan membuat makluman secara rasmi melalui surat kepada semua pusat tahfiz ini sebelum survelan dibuat agar tidak timbulnya kekeliruan seperti mana yang berlaku ini.

“Selain itu, kita di pihak Kerajaan Negeri juga akan mengeluarkan makluman di media sosial supaya ibu bapa atau mereka yang terlibat lebih jelas dengan situasi yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas melakukan pertemuan bersama wakil pengurusan pusat-pusat tahfiz persendirian Negeri Pahang dan wakil JKNP di PKD Bera di Klinik Kesihatan Paya Luas, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norulazali Sulaiman.

Tambah beliau lagi, isu mengenai perkara ini timbul akibat salah faham maklumat yang ingin disampaikan.

“Kesimpulan daripada pertemuan ini adalah berlaku kelemahan daripada segi komunikasi, selain itu pendekatan kita ada kelemahan sedikit dari segi gerak kerja, ada kekurangan sehingga menimbulkan tanda tanya kepada pihak terlibat.

“Saya faham dalam keadaan kecemasan, apa yang kita buat itu memerlukan kesegeraan, jadi kita terlepas pandang beberapa perkara sehingga menimbulkan isu ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Damak, YB. Tuan Haji Zuridan Mohd Daud yang juga salah seorang wakil pengurusan pusat tahfiz berkata pertemuan ini menjelaskan segala kekeliruan yang timbul berkaitan isu ini.

“Kami berpuas hati dengan semua jawapan yang diterima daripada pihak JKNP berkaitan segala persoalan mengenai isu ini.

“Dan segala cadangan yang diputuskan dalam pertemuan ini adalah sangat baik bagi mengharmonikan kembali keadaan dan supaya tidak timbul salah faham di pihak akar umbi pihak tahfiz sama ada dari pihak pengurusan mahupun ibu bapa dan pelajar itu sendiri,” katanya.

Tambah Timbalan Pengerusi Majlis Taawun Pusat Pendidikan Islam Pahang (MANTAP), Ustaz Roslan Md Esa, pertemuan ini telah merungkai segala kegusaran yang timbul akibat isu ini.

“Melalui penerangan yang jelas oleh Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Ybhg. Dr. Suzana Mohd Hashim yang telah mengemukakan data terperinci berkaitan perkembangan semasa COVID-19 ini serta asas kepada pelaksanaan survelan ini disamping kaedah perlaksanaannya di peringkat daerah berkaitan.

“…Alhamdulillah, sebahagian kegusaran Pihak Pengurusan Tahfiz Persendirian Negeri Pahang ini dapat dirungkaikan dengan penambahbaikan yang akan dilakukan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada semua pihak bagi melawan pandemik ini.

“Saya mewakili sebahagian Pengusaha Pusat Maahad Tahfiz dan Pondok Persendirian Negeri Pahang akan sentiasa memberikan kerjasama yang terbaik kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan semua petugas barisan hadapan dalam menjalankan tugasan mereka demi melawan Pandemik COVID-19 Ini,” katanya.

Sebelum ini, pihak pusat tahfiz menyuarakan bantahan kepada ujian swab yang akan dibuat kepada para penghuninya sedangkan mereka mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, tidak bergejala dan tiada kontak rapat dan ia disifatkan sebagai pilih kasih oleh pihak JKNP kepada warga tahfiz. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download