Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ditemani Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), En. Zahari Ismail dan wakil syarikat Telco melawat menara telekomunikasi yang baru siap di Agropolitan Tanjung Gahai Lipis.

47 MENARA BARU DI DAERAH LIPIS, BUKTI KERAJAAN PRIHATIN

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Mahathir Ali

KUALA LIPIS, 17 MAC 2021: Kerajaan Pahang dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Negeri Pahang kini dalam usaha membina 47 menara telekomunikasi di seluruh Daerah Lipis dengan 27 menara akan dibina di kawasan Dewan Negeri (DN) Jelai.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff berkata, selain itu lapan menara akan dibina di DN Padang Tengku, lima menera di DN Cheka dan tujuh di DN Benta.

Menurut beliau, langkah tersebut dilakukan bagi meningkatkan kebolehcapaian internet 4G di kawasan luar bandar khususnya di Daerah Lipis daripada 69 peratus kepada 96 peratus dalam tempoh JENDELA Fasa 1 yang sedang berlangsung sehingga penghujung tahun 2022 nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

“Kita mahu pastikan bahawa peratusan capaian liputan internet ini dapat ditingkatkan kepada 96 peratus di seluruh negeri Pahang termasuklah di kawasan Kuala Lipis.

“Kita juga telah mengadakan lawatan ke Kampung Tanjung Gahai di Sekolah Kebangsaan Tanjung Gahai untuk pastikan capaian internet di sana memuaskan bagi membolehkan pelajar-pelajar menggunakan liputan internet yang baik untuk belajar secara online dan saya mendapati capaian internet di sana adalah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas melakukan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gahai, di sini, semalam.

Sebelum itu, beliau telah hadir pada Taklimat Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Pejabat Daerah dan Tanah Lipis yang dihadiri pemimpin tempatan serta Pengarah SKMM Negeri Pahang, En. Zahari Ismail dan pemimpin tempatan.

Tambahnya, usaha ini merupakan keprihatinan pihak kerajaan menerusi kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail terhadap permasalahan yang dihadapi penduduk luar bandar terutama ketika menghadapi pasca COVID-19 pada ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff turut hadir ke Taklimat Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Pejabat Daerah dan Tanah Lipis yang dipengerusikan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Pasca COVID-19 yang dihadapi menghadkan sebarang urusan bersemuka sekali gus segala urusan termasuklah perniagaan, mesyuarat mahu pun urusan pembelajaran dan pengajaran perlu dilaksanakan menerusi atas talian dan memerlukan kebolehcapaian internet yang pantas.

Justeru, taklimat tersebut bertujuan menjelaskan perlaksanaan pembinaan pencawang di seluruh Negeri Pahang termasuklah di daerah Lipis yang mempunyai capaian internet 4G rendah iaitu 69 peratus dan pelbagai usaha sedang dilakukan bagi meningkatkan capaian internet kepada 96 peratus menjelang 2022.

Sementara itu, En Zahari berkata, bagi mencapai tahap tersebut, daerah Lipis akan menerima pembinaan 47 menara telekomunikasi di seluruh daerah tersebut dengan kawasan Dewan Negeri Jelai menerima pembinaan menara paling banyak dengan 27 menara.

Katanya, sehingga kini, sebanyak empat menara telah siap dibina di daerah Lipis iaitu di Taman Agropolitan Gahai, Kampung Gua Kalung, Kampung Sungai Lik dan Kampung Ridan yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang Julai depan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download