Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 12 MAC 2021: Negeri Pahang diisytiharkan sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka berkuat kuasa serta merta sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Pengerusi Jawatankuasa Perlancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, selain Pahang, Selangor dan Johor juga mengenakan perintah yang sama.
“Berikutan itu, semua pihak dilarang melakukan pembakaran terbuka atau menyebabkan pembakaran terbuka di tanah atau premis mereka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
“Mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda atau didakwa mengikut undang undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Tempatan, pemilik premis dan semua pemilik tanah dinasihatkan supaya terus memantau secara rapi di kawasan-kawasan mudah terbakar selain mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
Beliau berkata, untuk aktiviti keagamaan seperti pembakaran mayat bagi yang beragama Hindu, hendaklah memohon kebenaran dari pihak berkuasa terlebih dahulu.
“Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan berikutan peningkatan suhu yang sedang berlaku kini.
“Sebarang laporan mengenai pembakaran terbuka juga boleh dilaporkan terus kepada pihak Jabatan Alam Sekitar di talian Hotline 1-800-88-2727 dan Unit Aduan JAS Negeri Pahang di talian 09-5730636/129/148/139,” katanya – PAHANGMEDIA