Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 12 MAC 2021: Kerajaan Negeri sedang membangunkan semula Kompleks Teruntum sebagai salah satu tempat tarikan kepada orang ramai di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, pihaknya kini dalam proses mencantikkan semula bagi memberi imej baharu kepada bangunan tersebut.

“Saya bersama pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) melawat kali ketiga ke sini untuk memastikan kerja-kerja memberi imej baharu semula, memberi imej yang berbeza daripada dahulu.

“Alhamdulillah kalau kita tengok dari jauh pun dah nampak perbezaan dari segi warna dan tarikannya. Pihak PKNP sendiri sedang berusaha supaya kawasan ini menjadi tarikan kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan di sekitar Kompleks Teruntum bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Encik Mohd Faizal Jaafar, semalam.
Beliau berkata, pihak PKNP juga akan mengatur program secara berkala bagi menarik orang ramai untuk datang berkunjung ke Kompleks Teruntum.
“Salah satu adalah dengan menaiktaraf awning dan menjadikan lot ini sebagai tempat perniagaan.
“Mungkin setiap bulan pihak PKNP akan mengaturkan program untuk orang ramai datang ke sini dengan konsep pasar malam yang akan dibuat dihadapan PKNP ini.
“Inilah antara langkah-langkah yang dibuat bagi memastikan PKNP dapat dibangunkan kembali dan dijangka sebelum puasa dah boleh buka, mungkin dalam bulan 4, dan tingkat dua pula akan dijadikan sebagai pusat andaman dan perkahwinan,” katanya.
Tambah beliau lagi, semua perancangan ini adalah untuk memastikan Kompleks Teruntum terus mendapat perhatian dari orang ramai.
“Saya minta orang ramai gunakanlah kesempatan dan kemudahan yang ada di Kompleks Teruntum ini walaupun ia sebelum ini agak ketinggalan.
“Bagaimanapun usaha oleh PKNP dan YAB Menteri Besar sendiri sebelum ini untuk memastikan perniagaan di sini akan terus berkembang dan jadi tarikan kembali kepada orang ramai.
“InsyaAllah dengan usaha yang dijalankan oleh pihak PKNP pada hari ini akan terus memajukan dan memakmurkan Kompleks Teruntum sebagai destinasi kepada orang ramai untuk datang membeli-belah di sini,” katanya. -PAHANGMEDIA