Gambar fail.

POLIS PANTAU SOP PENGUSAHA PELANCONGAN DI KUANTAN  

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 11 MAC 2021: Polis akan melakukan pemantauan berterusan kadar pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kalangan pengusaha pelancongan di daerah Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya akan lebih komited dan tegas terhadap premis pelancongan memandangkan kementerian telah membenarkan sektor pelancongan dijalankan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Pihak polis akan menjalankan operasi dengan lebih ketat dan tegas bagi memastikan kesemua premis pelancongan mematuhi SOP dengan lebih ketat bagi memastikan tiada kluster baru wujud.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali

“Usaha ini perlu kerana Kuantan merupakan antara lokasi pelancongan tumpuan orang ramai khususnya mereka di luar negeri ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, semalam.

Dalam pada itu katanya, pihak polis tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun kepada orang awam dan pengusaha premis pelancongan yang gagal mematuhi SOP.

Sebelum ini kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP yang lain di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar, mulai Rabu lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun aktiviti tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat, termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah MOTAC. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download