Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 9 MAC 2021: Penduduk di daerah ini yang terjejas dengan kejadian banjir awal Januari lalu menarik nafas lega apabila menerima bantuan Bantuan Wang Ihsan Banjir 2021 berjumlah RM500 daripada Kerajaan Pahang.
Bagi mereka bantuan ini cukup bermakna kerana ada mangsa yang mengalami kerugian yang teruk selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir berkenaan.

Menurut Hani Amilia Md Tahar, 31, dari Kampung Sementeh, wang bantuan banjir ini akan digunakan untuk modal pusingan perniagaan kuih sejuk beku miliknya.
Katanya, banjir kali ini amat berbeza dan jauh lebih teruk dibandingkan yang berlaku pada 2014.
“Alhamdulillah, banyak bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak dan ia benar-benar membantu kami di dalam memulakan semula kehidupan harian,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, Hani Amilia antara penduduk yang menerima Bantuan Wang Ihsan Banjir 2021 Daerah Temerloh daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Orang Ramai Lanchang di sini.
Shahidan Mohd Zin, 56, dari Kampung Insaf pula terharu dengan keprihatinan pemimpin di negeri ini.
Katanya, tanpa bantuan yang diberikan itu, ia pasti membebankan mereka apatah lagi ketika penduduk masih bergelut dengan penularan wabak COVID-19.

“Semua bantuan yang diberikan akan digunakan dengan sebaiknya untuk membeli keperluan harian,” katanya.
R. Krisnan, 57, dari Taman Setia berkata, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebannya dalam membeli barang keperluan asas terutamanya selepas terjejas dalam kejadian banjir awal Januari lalu.
“Terima kasih kepada Kerajaan Pahang dengan sumbangan ini. Dapatlah sedikit membantu saya membeli barang keperluan harian,” katanya. – PAHANGMEDIA