Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 5 MAC 2021: Seramai 512 mangsa banjir di dalam Dewan Negeri Bebar menerima sumbangan wang ihsan berjumlah RM500 daripada Kerajaan Pahang semalam.
Sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang mewakili YAB Menteri Besar.

YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar berkata, Kerajaan Pahang memperuntukan sebanyak RM3.3 Juta untuk mangsa banjir di seluruh Negeri Pahang.
“Bagi daerah Pekan pula sebanyak RM650,000 diperuntukan melibatkan kawasan Bebar, Peramu Jaya, Pulau Manis dan Chini.
“Malah, bukan sahaja bantuan one off RM500 ini namun saya difahamkan Bantuan Baik Pulih Rumah juga akan diberikan Kerajaan Pahang kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan atau kemusnahan rumah.
“Inilah Kerajaan Pahang, sentiasa tunaikan janji dan berusaha dengan sebaik mungkin untuk membela nasib rakyat. Semoga sumbangan wang ihsan dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir dan memberi kelegaan kepada semua yang terlibat,” katanya di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk dapat mendaftar segera secara online di Mysejahtera untuk menerima suntikan Vaksin COVID-19.
“Kepada mereka yang mengalami kesulitan atau tidak mempunyai akses kepada MySejahtera boleh ke Klinik Kesihatan yang berdekatan untuk mendaftar. Saya juga berharap agar penduduk tidak terpengaruh dengan fitnah di media sosial berkenaan vaksin COVID-19.
“Seluruh dunia menggunakan vaksin bagi mencegah wabak COVID-19. Malah ada disesetengah negara rakyat mereka terpaksa membayar untuk mendapatkan vaksin ini. Namun kita di Malaysia diberi secara percuma. Fikirlah dengan sebaik-baiknya,” katanya. – PAHANGMEDIA