KUANTAN, 28 FEBRUARI 2021: Mangsa terakhir kes lemas di Pantai Sungai Ular, dekat Cherating di sini ditemukan pasukan mencari dan menyelamat hari ini.
Mangsa Mohd Fazrul Hakimi Ariffin, 11 tahun, berjaya ditemukan kira-kira pukul 12.47 tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang semalam, tiga kanak-kanak dilaporkan lemas ketika mandi di pantai berkenaan.

Laporan kejadian itu diterima Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuantan, kira-kira pukul 6 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan.
Mayat mangsa pertama dikenali Fitrah Dhia Zahraa’ Zaidi berusia sembilan tahun ditemui kira-kira pukul 6 petang semalam manakala mayat kedua, Nor Najuwa Mohd Ariffin, 13 tahun, kira-kira pukul 7 petang.
Seorang lagi mangsa, Fitrah Dhia Zulaikha, 13, yang juga kakak kepada Fitrah Dhia Zahraa’ sempat diselamatkan orang awam. – PAHANGMEDIA