Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menerima suntikan vaksin COVID-19 di Dewan Utama Universiti DRB-Hicom hari ini.

SUNTIKAN VAKSIN TANGGUNGJAWAB BERSAMA DALAM MENCEGAH PENULARAN COVID-19

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali

PEKAN, 27 FEBRUARI 2021 : Suntikan vaksin merupakan satu tanggungjawab bersama dalam memastikan pandemik COVID-19 ini dapat dicegah ujar YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang itu berkata, suntikan vaksin yang diberi ini diharap dapat mengurangkan jumlah jangkitan sedia ada di negara ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menunjukkan vaksin Pfizer sebelum menerima suntikan vaksinasi di Dewan Utama Universiti DRB-Hicom hari ini.

“Kita berasa satu tanggungjawab untuk kita pastikan bahawa apa yang kita terima ini dapat sekurang-kurangnya mengurangkan lagi jumlah jangkitan kepada COVID-19.

“Diharapkan fasa-fasa seterusnya akan diterima oleh pihak-pihak tertentu dan dapat mengurangkan lagi jumlah jangkitan pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin di Dewan Utama Universiti DRB-Hicom di sini hari ini.

Turut hadir, ADN Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Haji Mahmud; ADN Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali; ADN Chini, YB. Mohd Sharim Haji Md. Zain; Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli dan Ketua Polis Daerah Pekan, Tuan Supt. Mohd Razli Mohd Yusof.

Beliau yang juga ADN Bebar berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kerana memberikan suntikan fasa pertama ini.

“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kerana telah memastikan bahawa penerima-penerima ini yang dikatakan sebanyak 70 peratus akan menerima vaksin ini dalam masa terdekat,” katanya.

Berkongsi mengenai perasaan selepas menerima suntikan vaksin tersebut, beliau berkata suntikan tersebut seperti suntikan biasa dan orang ramai tidak perlu risau.

“Perasaannya ini adalah satu tanggungjawab sesiapa sahaja yang kita dapati yang berhadapan dengan masyarakat dan orang ramai sudah tentu diberikan ruang keutamaan untuk memastikan mereka selamat,” katanya.

Beliau turut berharap pihak yang tidak bertanggungjawab dapat menghentikan kata-kata yang tidak benar mengenai pemberian vaksin ini.

“Jadi saya harapkan kita semua dapat menghentikan sama sekali fitnah-fitnah ataupun kata-kata yang dapat memperlihatkan bahawa vaksin ini tidak selamat.

“Selepas vaksin kali pertama ini dan seterusnya pada vaksin kedua nanti kita akan dapat lihat kesan yang lebih baiklah sebagaimana yang berlaku di negara-negara lain,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download