KUANTAN, 27 FEBRUARI 2021: Sikap tidak bertangggungjawab penerima Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang tidak membayar kembali rumah diterima menyebabkan hutang tertunggak di negeri Pahang telah mencecah RM2.2 juta.
Timbalan Menteri Kewangan II, YB Tuan Mohd Shahar Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan sebanyak 1,500 akaun.
“Saya meminta agar semua penerima RMR untuk menjelaskan bayaran pinjaman yang ditetapkan mengikut jadual.
“Setelah rumah siap dibina, penerima rumah mesti memastikan bayaran ansuran dijelaskan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan agar tidak tertunggak dan akan memberi masalah pada masa hadapan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Inden Kerja RMR 2021, Peringkat Parlimen Paya Besar, di sini.

Sebanyak 46 Inden kerja bernilai RM3.2 juta diserahkan kepada kontraktor pada majlis itu.
Turut hadir, Ketua Wanita Umno Paya Besar, YH Dato’ Safariah Awang Ngah, Pengarah SPNB Pahang, YH Dato’ Ahmad Islanizam A. Halim serta pemimpin setempat.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berharap agar semua kontraktor yang terpilih membina Rumah Mesra Rakyat (RMR) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyiapkan kesemua unit yang dibina mengikut jadual.
“Komitmen tinggi kontraktor diperlukan bagi memastikan setiap unit ini disiapkan mengikut jadual seterusnya memberi peluang kepada rakyat mendapat tempat tinggal yang sempurna dan bantuan dari Kerajaan Pusat sampai kepada yang sepatutnya.
“Kita mahu kerja-kerja dimulakan segera selepas inden disampaikan dan tidak menangguhkan pembinaan bagi memastikan ianya siap mengikut jadual kerana inden kerja adalah selama tiga bulan sahaja,” katanya.
Katanya lagi, jika timbul sebarang masalah, kontraktor boleh berbincang dengan pegawai SPNB bagi memastikan ia dapat ditangani dengan sempurna.
“Dengan cara ini, masalah yang timbul dapat diatasi dengan sempurna dan semua pihak mendapat manfaat,”katanya. -PAHANGMEDIA
Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 26 OKTOBER 2020: Kekuatan penugasan pasukan pemantau prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) telah ditambah bagi memantapkan lagi usaha permantauan dan pemeriksaan di lokasi awam dan tumpuan ramai.
Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, selain itu, penugasan sekatan jalan raya (SJR) turut dilakukan meliputi sempadan daerah dan negeri.
“Pertambahan anggota ini dapat melicinkan usaha pemantauan yang dilakukan setiap hari malah memberi peringatan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan yang telah ditetapkan.
“Tindakan kompaun sentiasa menanti mereka yang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini.
Sementara itu, Dato’ Sri Abd Jalil berkata, sebanyak 26 buah premis dan dua individu dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam pemantauan yang dilakukan semalam.
Menurutnya, sebanyak 86 buah pasukan melakukan 1574 pemantauan di kawasan tumpuan awam termasuk tempat riadah, terminal bas dan teksi serta pasar awam atau pasar tani.
“Pemantauan dan pemeriksaan turut dilakukan di premis perniagaan, kilang, bank, tempat ibadah serta tapak pembinaan di sekitar negeri Pahang.
“Nasihat dan amaran juga telah diberikan kepada orang awam agar terus mengamalkan pemakaian pelitup separuh muka dan mematuhi penjarakan fizikal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 1,362 orang telah ditahan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac sehingga PKPP yang berlangsung sehingga semalam.
“Seramai 586 orang telah dituduh di mahkamah sepanjang tempoh sama dan dikenakan denda di atas keingkaran mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA