Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 26 FEBRUARI 2021: Kerajaan Pahang menyokong sepenuhnya cadangan untuk menjadikan Bentong sebagai bandar raya kedua di negeri ini berikutan daerah itu kini sudah hampir menepati kriteria yang ditetapkan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini Bentong telah menjana pendapatan yang boleh diiktiraf menjadi bandar raya, namun hanya jumlah penduduk sahaja yang belum mencapai kriteria.
“Kerajaan Negeri kena danamik dan progresif. Apabila Kuantan dijadikan bandar raya, kita mesti melihat kepada daerah lain pula yang ada untuk dinaik taraf.
“Kerana apabila jadi bandar raya, banyak manfaat yang akan dapat dinikmati oleh rakyat. Sebagai contoh peluang pekerjaan, pekerja dinaikkan gred dan mendapat peruntukan yang lebih.
“Jadi kita tidak boleh duduk diam selepas Kuantan menjadi bandar raya… Jadi saya bersama EXCO Kerajaan Pahang dan Setiausaha Kerajaan Pahang memikirkan daerah lain yang boleh dijadikan bandar raya,” katanya.
Beliau berkata, antara daerah yang dikenal pasti adalah Bentong dan Temerloh namun yang paling hampir menepati syarat adalah Bentong.
“Sebab itu Kerajaan Negeri akan memainkan peranan bagi memastikan hasrat ini tercapai,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, selepas Kuantan diangkat menjadi bandar raya, Bentong yang terletak berhampiran Lembah Kelang pula dijangka bakal menjadi bandar raya kedua di negeri ini selepas menepati kriteria yang ditetapkan.
Beliau berkata, pada masa ini pihak kementerian menunggu permohonan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Tempatan bagi mendapat pertimbangan daripada Kabinet bagi merealisasikan perkara itu.
“Pada dasarnya tiada masalah untuk (merealisasikan) Bandaraya Bentong dalam tempoh setahun dua ini dan pihak kementerian sangat komited menyokongnya.
“Majlis Perbandaran Bentong mempunyai kriteria menjadi bandar raya termasuklah jumlah penduduk hampir 500,000 orang dengan merekodkan pendapatan kira-kira RM100 juta setahun,” katanya. – PAHANGMEDIA