Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali bersama anggotanya ketika melakukan tinjauan pematuhan pemakaian pelitup muka di kawasan pantai Teluk Chempedak, Kuantan.

95 PERATUS RAKYAT NEGERI INI PATUH ARAHAN PAKAI PELITUP MUKA – KP PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 02 OGOS 2020 : Sebanyak 95 peratus rakyat di negeri ini mematuhi arahan kerajaan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak bagi mencegah penularan COVID-19 dalam pemantauan yang dijalankan pada hari pertama penguatkuasaan.

Ketua Polis Pahang, Dato’ Abd. Jalil Hassan berkata dalam pemantauan yang dilakukan pihaknya semalam, sebanyak 1,096 kawasan telah dipantau di seluruh negeri ini.

“Sebanyak 65 pasukan pemantau telah digerakkan dalam Pemantauan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) Pemulihan Kontinjen Pahang pada hari pertama penguatkuasaan.

“Secara keseluruhannya dapat dilihat 90 peratus hingga 95 peratus orang ramai mematuhi arahan (memakai pelitup muka) ini,” katanya ketika dihubungi UKOMP hari ini.

Ketua Polis Pahang, Dato’ Abd Jalil Hassan.

Beliau berkata daripada pemantauan yang dijalankan tersebut, seramai 18 individu dan 17 premis telah dikenakan kompaun dengan daerah Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi.

“Kita telah memantau 645 buah premis termasuklah kilang dan bank; kenderaan (288); tempat ibadah (108); tempat riadah (23); pasar awam dan pasar tani (19); tapak pembinaan (7); dan terminal bas dan teksi (6).

“Dan bermula Ogos, pemantauan dan pemeriksaan akan dijalankan oleh team task force di lokasi-lokasi awam bagi pemantauan pemakaian face mask dan mematuhi SOP PKPP,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan oleh pihak kerajaan bagi mengelak dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa dan mengamalkan pematuhan terhadap SOP yang telah dikeluarkan.

Untuk rekod, Menteri Kanan Keselamatan, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pada 23 Julai lepas, bermula 1 Ogos, kerajaan mewajibkan orang ramai untuk memakai pelitup muka di kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan ramai bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Beliau dilaporkan berkata, orang ramai boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dibawah Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sekiranya gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download