Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato' Abd Rahim Muda menyerahkan Surat Tawaran Rumah PAKR Sungai Pandan kepada seorang penerima.

90 UNIT TERAKHIR PAKR SUNGAI PANDAN DISERAHKAN KEPADA PENERIMA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 22 DISEMBER 2020: Sebanyak 90 unit rumah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Pandan yang merupakan baki terakhir rumah berkenaan telah serahkan kepada penerima untuk diduduki oleh Kerajaan Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, kesemua unit berkenaan merupakan baki daripada 800 unit rumah PAKR di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda (kanan) bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching, YB. Encik Mohd Tarmizi Yahaya pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah PAKR Sungai Pandan.

“Ini merupakan kumpulan terakhir daripada 800 unit yang dibaikpulih oleh Kerajaan Negeri sejak ia mula dilanda banjir pada tahun 2001.

“Lebihan sebanyak 1,200 unit lagi Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk merobohkannya kerana tidak sesuai lagi untuk diduduki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah PAKR Sungai Pandan, di sini, hari ini.

Antara penerima yang menerima rumah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Pandan.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching, YB. Encik Mohd Tarmizi Yahaya dan Setiausaha Bahagian (Bahagian Perumahan), YH. Dato’ Azlan Mohd Yaman.

Beliau berkata, Kerajaan Pahang juga bercadang untuk mengubah konsep sebahagian rumah yang ditawarkan ini kepada konsep beli.

“Jadi yang terpilih ini ialah mereka yang sangat bernasib baik, patut berterima kasih dan yang pentingnya bayar tiap-tiap bulan sebanyak RM228,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda memeriksa keadaan rumah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Pandan yang merupakan baki terakhir rumah berkenaan telah serahkan kepada penerima untuk diduduki oleh Kerajaan Pahang.

Sementara itu, seorang penerima, Puan Rohani Mohamed, 54, berkata, dia sangat gembira dengan tawaran rumah berkenaan memandangkan dia dan suami tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Sekarang saya duduk di rumah yang dibina di atas tanah orang, tumpang tanah orang dah 14 tahun.

“Jadi rasa seronok dan bersyukur akhirnya dapat rumah sendiri, rasa sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi tawaran rumah ini,” katanya yang mempunyai sembilan orang anak. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,007 total views,  9 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download