Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 24 OGOS 2020: Sebanyak sembilan Pusat Pemprosesan Durian diwujudkan di negeri sehingga akhir tahun lalu bagi meningkatkan eksport durian Pahang ke luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, daripada jumlah itu, sebanyak tujuh buah pusat berkenaan diwujudkan di Raub, masing-masing satu di Bentong dan Jerantut.
“Bagi mengawal penjualan durian tidak berlesen pula, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga menyediakan tapak khas sementara untuk peniaga menjual buah-buahnya bermusim termasuk durian
“Peniaga yang ingin menjual buah-buahan di tepi jalan boleh mendapatkan permit sementara. Bagaimanapun, pemilihan lokasi yang bersesuaian diambil kira sebelum permit itu diluluskan bagi mencegah aktiviti penjajaan di kawasan yang membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Teruntum, YB Encik Sim Chon Siang (PKR) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Pertanian tidak terbabit dalam mengawal harga buah durian yang berkualiti dan popular seperti Musang King, Hajah Hasmah dan Beserah susulan sambutan menggalakan penggemar buah berkenaan.
“Sebaliknya, jabatan itu lebih kepada usaha membantu pengusaha durian mengeluarkan hasil yang berkualiti melalui amalan pertanian yang baik sehingga memperoleh persijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic),” katanya. – PAHANGMEDIA