Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

88 PERATUS PEMILIK TIDAK TERJEJAS PENINGKATAN CUKAI TANAH

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 24 OGOS 2020: Kajian mendapati 88 peratus pemilik tanah di negeri ini tidak terjejas dengan pengenalan kadar cukai tanah baharu oleh Kerajaan Pahang.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia membabitkan pemilik tanah kediaman, tanah pertanian yang kurang daripada 10 ekar.

“Sebaliknya hanya 12 peratus sahaja yang terjejas dengan pengenalan cukai baharu ini…. Namun Kerajaan Negeri bagi pengurangan yang diberikan menerusi remisyen.

“Ini jelas menunjukkan bahawa ia tidak pernah membebankan rakyat, kerana sebelum kita laksanakan sesuatu perkara itu, Kerajaan Negeri akan kaji dahulu agar tidak berlaku kesilapan.

“Sebab itu, saya pergi dekat mana-mana pun tidak ada isu cukai, malah di Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini pun tiada isu ini dimainkan,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjawab soalan pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bilut, YB Encik Lee Chin Chen (DAP) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Sebelum itu, ADN Bukit Ibam, YB Datin Hajah Samsiah Haji Arshad (BN) bertanyakan soalan mengenai jumlah hasil yang dapat dikutip daripada penstrukturan semula cukai tanah yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang.

Menjawab soalan berkenaan, beliau berkata, sehingga 16 Ogos lalu, Kerajaan Pahang telah mengutip cukai tanah berjumlah RM198.446 juta.

“Jumlah ini adalah peningkatan sebanyak RM84.126 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download