Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan replika kunci rumah kepada salah seorang penerima Majlis Penyerahan Kunci PGBF Selendang 2 dan Selancar 4/5 di Dewan Semai Bakti Felda Selendang 1 di Rompin hari ini.

840 UNIT RUMAH GENERASI KEDUA FELDA BERHARGA RM286 JUTA SIAP DIBINA DI FELDA SELENDANG DAN FELDA SELANCAR 3

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

ROMPIN, 15 SEPTEMBER 2020 : Sebanyak 840 unit rumah Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) telah siap dibina di Felda Selendang dan Felda Selancar 3 dengan kos RM286 juta.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kesemua rumah PGBF ini telah dan sedia diduduki oleh generasi baharu di kedua-dua penempatan tersebut.

“Saya difahamkan bagi PGBF Selendang 2, terdapat 360 unit rumah yang telah siap dibina manakala bagi PGBF Selancar 4 DAN 5 pula sebanyak 480 unit rumah.

“Sebanyak 353 unit telah diserahkan kepada generasi baharu bermula bulan Mei 2018, dan penyerahan kunci pada hari ini menjadikan sebanyak 790 unit telah berjaya diserahkan kepada peserta,” katanya.

Antara barisan Exco yang hadir pada Majlis Penyerahan Kunci PGBF Selendang 2 dan Selancar 4/5 di Dewan Semai Bakti Felda Selendang 1 di Rompin hari ini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Kunci PGBF Selendang 2 dan Selancar 4/5 di Dewan Semai Bakti Felda Selendang 1 di sini hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Timbalan Pengarah Besar Felda, Dato’ Amir Hamdan Yusof; dan barisan exco Kerajaan Negeri.

Beliau berkata bagi PGBF di Felda Chini 3, kerja-kerja pembinaan semula 29 unit rumah tersebut akan bermula November ini.

“Dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Chini yang lepas, isu projek terbengkalai khususnya bagi PGBF Felda Chini 3 telah dibangkitkan dan Alhamdulillah, memang kita telah ada penyelesaian kepada isu tersebut.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Kunci PGBF Selendang 2 dan Selancar 4/5 di Dewan Semai Bakti Felda Selendang 1 di Rompin hari ini.

“Terkini, saya difahamkan, kerja-kerja pembinaan semula rumah PGBF berkenaan akan bermula pada November 2020 dan dijangka siap pada November 2021,” katanya.

Tambah beliau lagi, mempelajari daripada PRK Chini tersebut pihaknya meminta Felda mengenalpasti projek PGBF yang terbengkalai di negeri ini.

“…saya telah meminta agar Felda segera mengenal pasti projek-projek PGBF terbengkalai di seluruh Pahang, serta mengambil daya-usaha untuk menangani dan mengatasinya.

Antara tetamu dan penerima yang hadir pada Majlis Penyerahan Kunci PGBF Selendang 2 dan Selancar 4/5 di Dewan Semai Bakti Felda Selendang 1 di Rompin hari ini.

“Saya minta Felda fikirkan untuk meluaskan lagi lot perumahan generasi Felda. Yang ini kita bagi rumah, kemudian kalau ada tanah, kita akan bagi lot tanah pula seperti mana yang kita telah buat di Felda Chini baru-baru ini,” katanya.

Sebanyak 2,051 unit rumah PGBF telah diserahkan sejak April 2019 dan sehingga kini sebanyak 2,358 unit rumah telah berjaya disiapkan manakala 2,436 unit lagi dijangka akan disiapkan pada 2021.

Di Pahang, sebanyak 18 tapak disenaraikan bagi pembinaan PGBF dengan 10 tapak telah selesai dibina manakala enam tapak lagi dalam pembinaan meliputi 4,078 unit rumah.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download