Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Encik Mohd Sharim Md Zain menunjukkan bumbung sekolah yang sudah ditukar di FELDA Chini, Pekan.

70 PERATUS JANJI PRK CHINI SUDAH DILAKSANAKAN

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali

PEKAN, 14 OKTOBER 2020: ‘Tiada Janji, Lihat Bukti’ itu yang berjaya dibuktikan oleh Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail apabila kira-kira 70 peratus janji yang dibuat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini sudah dilaksanakan selepas 100 hari calon Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi berkenaan.

Malah baki 30 peratus lagi janji yang dibuat pada PRK itu kini dalam proses dan akan dilaksanakan pada bila-bila masalah sahaja selepas beberapa isu diselesaikan.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika majlis Perasmian Pembinaan Kolam Takungan Hiliran (ORS) di muka sauk Sungai Mentiga, Chini di Pekan baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Encik Mohd Sharim Md Zain berkata, kebanyakkan projek yang dijanjikan ketika PRK Chini sama ada oleh Kerajaan Pahang mahupun Kerajaan Pusat sudah ditunaikan cuma masih ada yang menunggu pelaksanaan sahaja.

“Kita boleh lihat beberapa projek seperti membaiki bumbung sekolah, menaiktaraf gelanggang futsal dan menurap jalan di sekitar Chini juga sudah siap dilaksanakan oleh pihak berwajib.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan menepati janji yang dibuat dalam PRK Chini dan bukan cakap-cakap kosong seperti yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di pejabatnya di FELDA Chini 3 di sini, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Encik Mohd Sharim Md Zain menunjukkan jalan yang sudah diturap baharu di di FELDA Chini, Pekan.

YB. Encik Mohd Sharim berkata, untuk projek Pembinaan Kolam Takungan Hiliran (ORS) di muka sauk Sungai Mentiga di sini pula pada masa ini dalam proses pemilihan kontraktor oleh pihak FELDA.

“Saya dimaklumkan bahawa sebelum ini ada isu tanah kerana melibatkan tanah perkuburan Orang Asli di situ, namun telah diselesaikan. InsyAllah dengan adanya ORS ini nanti akan dapat menyelesaikan masalah kemerosotan kuantiti sumber air mentah akibat musim kemarau sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air di sekitar Chini,” katanya.

Katanya lagi, bagi lot tanah generasi kedua FELDA juga kini dalam proses dan sedang diuruskan oleh pihak FELDA untuk proses pecah lot dan sebagainya.

“Kerajaan Pahang juga menyalurkan peruntukan kira-kira RM1.37 juta untuk projek pembangunan dan bantuan kepada penduduk di Dewan Negeri Chini. Ini termasuk kepada golongan kurang berkemampuan adalah sebanyak RM591,156 dan RM785,000 bagi projek pembangunan.

“Ini termasuk membina kubah Masjid Hidayah di FELDA Chini 1, membaiki jalan rosak di Kampung Semambu, menaiktaraf jabatan kayu Sungai Mentiga di FELDA Chini 5, naiktaraf bangunan JKKR FELDA Chini Timur 1, naiktaraf Masjid Al Khairiah FELDA Chini 2 dan bina baru tapak Pekan Sehari FELDA Chini 2,” katanya.

Dalam PRK itu, BN mempertahankan kerusi Dewan Negeri (DN) Chini dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu dengan majoriti besar 12,650 undi.

YB. Encik Mohd Sharim, meraih 13,872 undi, mengatasi dua calon Bebas iaitu YM Tengku Dato’ Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli, masing-masing memperoleh 1,222 dan 137 undi. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download