Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Arif menyampaikan sumbangan insentif Kerajaan Negeri untuk calon SPM Pahang 2020 kepada salah seorang wakil sekolah dari Dewan Negeri Teruntum di Dewan Ad-Daraquthni, SMKA Al-Ihsan, di sini, hari ini

662 CALON SPM DUN TERUNTUM TERIMA SUMBANGAN INSENTIF RM33,100

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohd Mahathir Mohd Ali

KUANTAN, 17 DISEMBER 2020: Seramai 662 calon pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kawasan Dewan Negeri Teruntum menerima sumbangan Kerajaan Pahang berjumlah RM33,100.

Kesemua pelajar tersebut terdiri daripada lapan buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Al-Ihsan, SMK Sultan Abu Bakar, SMK Abdul Rahman Talib, SMK Perempuan Methodist, SMK Tengku Afzan, SMK Saint Thomas, SMK Tok Sira dan SMK Teluk Cempedak.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Arif berkata, program penyampaian sumbangan insentif tersebut turut diadakan di seluruh Pahang dengan memfokuskan agihan kepada semua calon SPM 2020 yang bakal menduduki peperiksaan penting itu pada Februari tahun hadapan.

Pelajar SPM Pahang 2020, Muhammad Atiqullah Mursyidi (kanan, hadapan) dan
Nurhidayah Azman (kiri, hadapan) bersama rakan mereka menunjukan Insentif Pembelajaran Secara Online bagi Calon SPM Tahun 2020 yang diterima oleh mereka.

“Kita akan sampaikan bantuan ini kepada lebih kurang 20,000 pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM 2020.

“Dan kerajaan negeri menerusi YAB Menteri Besar Pahang berbesar hati telah meluluskan sebanyak RM1 juta untuk memberi insentif kepada pelajar-pelajar sebanyak RM50 seorang bagi membolehkan mereka membeli data-data untuk pembelajaran ‘online’ menggunakan internet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Penyerahan Insentif Pembelajaran Secara Online bagi Calon SPM Tahun 2020 di Dewan Ad-Daraquthni, SMKA Al-Ihsan, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut menasihati pelajar supaya menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dengan belajar bersungguh-sungguh dan memanfaatkan peluang belajar di rumah menerusi atas talian dengan sebaiknya.

Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tok Sira, YH. Dato’ Jamal Nasir berkata, bantuan oleh kerajaan negeri ini adalah sangat baik dan amat diperlukan oleh para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.

“Saya harap usaha ini dapat memberi satu motivasi kepada anak-anak pelajar untuk lebih giat belajar untuk memastikan kecemerlangan dalam pelajaran mereka,” katanya.

Dua wakil calon SPM dari SMKA Al-Ihsan yang ditemui juga berasa sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan pihak kerajaan khususnya kepada calon SPM 2020 yang bakal menduduki peperiksaan penting itu beberapa bulan sahaja lagi.

Muhammad Atiqullah Mursyidi Mohamad berkata, sepanjang tempoh sekolah ditutup ekoran penularan wabak COVID-19 ini, dia bersama rakan-rakan memanfaatkan peluang belajar di rumah secara atas talian bagi memastikan penguasaan terhadap semua mata pelajaran.

YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Arif ditemani Ketua UMNO Kuantan, Dato’ Seri Ab. Hamid Nazahar bergambar bersama wakil guru dan pelajar menyampaikan sumbangan insentif Kerajaan Negeri untuk calon SPM Pahang 2020 di SMKA Al-Ihsan.

Justeru, Muhammad Atiqullah Mursyidi merasakan sumbangan kerajaan ini sedikit sebanyak dapat digunakan bagi mengatasi pelbagai kekangan seperti penggunaan wifi dan data bagi melancarkan pembelajaran kendiri atas talian.

“Bantuan kerajaan ini sangat membantu saya dalam meneruskan usaha untuk skor dalam SPM,” katanya.

Nurhidayah Azman juga turut memberikan ucapan penghargaan terhadap YAB Menteri Besar Pahang yang sangat prihatin dengan keperluan semua pelajar SPM 2020 yang perlu menjalani pembelajaran kendiri bagi menuntut ilmu sebelum menduduki peperiksaan terbesar itu.

“Terima kasih kepada Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas bantuan yang telah diberikan kepada kami semua. Kami terlalu bersyukur dengan bantuan ini kerana kami boleh terus capai kemajuan dalam SPM 2020,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram
ARTIKEL POPULAR

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download