661 PPS Diwujudkan Bagi Hadapi Banjir Di Pahang

Oleh Shahrinnahar Latib

KUANTAN : Kerajaan Pahang sudah bersedia menghadapi bencana banjir dengan mewujudkan 661 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini yang mampu menempatkan 155,900 mangsa.

YH. Ketua Polis Pahang, CP Dato’ Abd. Jalil Hassan berkata, ini antara persiapan yang sudah dilakukan bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang bermula awal Oktober lalu dan dijangka berakhir Mac tahun depan.

YH. Ketua Polis Pahang, CP Dato’ Abd. Jalil Hassan

Beliau berkata, PPS ini membabitkan sebanyak 279 buah sekolah, 48 masjid dan surau serta 334 dewan, balai raya dan pusat komuniti.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan keadaan banjir di negeri ini tidak seburuk tahun 2014. Tahun ini dijangkakan berlakunya banjir kerana taburan hujan adalah 20 hingga 40 peratus lebih daripada biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persembahan Taklimat Bagi Persediaan Agensi Tindak Balas Menghadapi Bencana Tahun 2019/2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli berangkat ke persembahan taklimat berkenaan hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YH. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga menyediakan 118 pangkalan hadapan yang boleh memuatkan 45,400 tan barang keperluan asas bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan asas dapat diagihkan segera kepada mangsa.

“Seramai 6,342 orang yang terdiri daripada pegawai kanan dan anggota pangkat rendah meliputi semua jabatan dan agensi penyelamat sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga bagi memastikan penugasan ketika banjir berjalan lancar,” katanya.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download