Dua buah rumah di Taman Gambang Damai di Kuantan yang runtuh sepenuhnya pada 3.40 pagi Selasa lepas dipercayai akibat pergerakan tanah kesan daripada hujan berterusan sejak Sabtu.

66 KEDIAMAN DI TAMAN GAMBANG DAMAI DIKOSONGKAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 07 JANUARI 2021: Sebanyak 66 kediaman di Taman Gambang Damai yang berada dalam lingkungan 100 meter daripada dua buah rumah yang runtuh kelmarin diarahkan dikosongkan segera atas faktor keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, hasil siasatan pihak keselamatan mendapati selain dua rumah yang runtuh kelmarin, ada 26 buah rumah lagi berada di garisan runtuhan.

“Daripada jumlah itu, empat daripadanya adalah berdekatan di mana ia kategorikan sebagai paling berisiko kerana telah berlaku keretakan pada tiang dan bangunan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau tapak rumah yang runtuh di Taman Gambang Damai di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda ketika memantau lokasi dua buah rumah yang runtuh di Taman Gambang Damai di Kuantan.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan II yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Mohd Shahar Abdullah dan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), YH. Dato’ Hamdan Hussin.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah memanggil pakar cerun dari Cameron Highlands untuk memastikan kawasan tersebut selamat untuk didiami atau tidak.

“Kita sudah menempatkan seorang pegawai dari Jabatan Mineral dan Geosains Pahang untuk membuat pemantauan dan memberikan laporan mengenai keadaan tanah di sini.

“Sekiranya pergerakan tanah masih berlaku di sekitar kawasan ini, kita akan melanjutkan pemantauan tahap keselamatan dalam tiga atau empat hari lagi dan keputusan sama ada kediaman yang dikosongkan ini boleh didiami atau tidak, bergantung kepada laporan daripada pakar cerun nanti,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga telah mengambil tindakan mengosongkan tangki air di kawasan berkenaan berikutan berlakunya sedikit keretakan tanah.

“Keretakan tanah yang berlaku di kawasan tangki air berkenaan adalah minimum tetapi kita tetap mengambil langkah keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang terbabit dengan kejadian rumah runtuh di Taman Gambang Damai di Kuantan.

“Pihak pemaju juga telah meletakkan kanvas di kawasan berkenaan untuk mengelakkan hakisan daripada terus berlaku,” katanya.

Menurut beliau lagi, kesemua penduduk yang diarahkan berpindah dari kediaman mereka kini ditempatkan di Bukit Gambang Resort City oleh pemaju dan ada sebahagian dari mereka juga menumpang atau menyewa rumah di kawasan berdekatan.

Dua buah rumah di kawasan berkenaan telah runtuh sepenuhnya pada 3.40 pagi Selasa lepas dipercayai akibat pergerakan tanah kesan daripada hujan berterusan sejak Sabtu. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,974 total views,  9 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download