Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 25 NOVEMBER 2020: Sebanyak 6,000 benih ikan lampan dan baung dilepaskan ke Sungai Pahang sempena Program Pemuliharaan Dan Perlindungan Sumber Perikanan Darat di Kampung Padang Rumbia di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, program ini diadakan serentak di seluruh daerah di negeri Pahang dan bertujuan bagi memastikan sumber ikan sungai terus kekal serta tidak pupus.
“Walaupun menyedari hanya 20 hingga 30 peratus sahaja benih-benih ikan ini akan berjaya hidup dan membesar namun ianya perlu dilaksanakan bagi memastikan nelayan sungai dan penduduk terus dapat menikmati hasil ikan sungai di masa hadapan,” katanya di sini semalam.
Beliau juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar juga mengingatkan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak menggunakan kaedah tuba atau meracun ikan kerana ia memberi kesan buruk serta mengakibatkan habitat ikan akan pupus.
“Racun ikan seperti carbofuran, methomyl dan potas bakal mendedahkan pemakan ikan kepada keracunan kimia antara yang paling berbisa di kalangan kategori racun yang mampu menyebabkan kematian.
“Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Jabatan Perikanan Pahang yang diwakili Ketua Cawangan Taman Laut Dan Perlindungan Sumber, Puan Halina Binti Hashim serta kakitangan di atas usaha murni menyelamatkan spesis ikan Sungai Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA