Pengarah JBPM Pahang, YH. Ir. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa memeriksa persiapan peralatan bagi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir bagi musim tengkujuh.

60 PERATUS PPS PAHANG TELAH DIJALANKAN SANITASI AWAM

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Pihak bomba telah melakukan proses sanitasi awam terhadap hampir 60 peratus Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini sebagai langkah awal menghadapi kejadian banjir akibat musim tengkujuh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, YH. Ir. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata proses sanitasi ini telah bermula sejak minggu lepas dan dijangka selesai pada minggu hadapan.

“Jabatan bomba bermula pada minggu lepas lagi iaitu bermula selepas mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri, kita diminta untuk menjalankan sanitasi awam di 647 PPS di negeri ini.

“Jadi jabatan bomba dah menggerakkan sehingga hari ini hampir 60 peratus PPS banjir ini di buat sanitasi awam dan kita akan terus jalankan sehingga selesai,” katanya ketika sidang media berkaitan Persiapan dan Kesiapsiagaan JBPM Pahang Sempena Menghadapi Musim Tengkujuh hari ini di Ibu Pejabat JBPM Pahang.

Pengarah JBPM Pahang, YH. Ir. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa menunjukkan contoh pemakaian mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan bagi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir mengikut norma baharu.

Beliau berkata proses sanitasi awam ini akan tetap diteruskan selepas pusat-pusat PPS ini diaktifkan namun ia akan dilakukan oleh petugas di tempat tersebut.

“Cuma setelah diaktifkan PPS itu, proses sanitasi ini akan dilaksanakan oleh petugas PPS yang ada namun di bawah bimbingan jabatan bomba.

“Sebab pada masa itu jabatan bomba mungkin tidak mempunyai kesempatan untuk melakukan proses ini (sanitasi) kerana akan lebih memberikan tumpuan kepada kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata pihak bomba juga telah membekukan cuti 953 anggota bomba di negeri ini sebagai langkah menghadapi banjir.

“Kita telah bekukan cuti anggota kita yang terlibat dengan operasi berkaitan banjir sebagai langkah untuk menyiapkan para petugas menghadapi banjir norma baharu ini.

“Kita telah mengeluarkan surat kepada anggota terlibat di mana cuti mereka dibekukan bermula daripada bulan ini sehingga satu tarikh yang akan diberitahu selain akan dibantu oleh 129 bomba bantuan,” katanya.

Pengarah JBPM Pahang, YH. Ir. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Tambah beliau lagi, anggota yang terlibat juga telah dimaklumkan untuk membuat rondaan terutamanya di kawasan-kawasan yang sering dinaiki air supaya bantuan dapat diberikan secepat mungkin.

“Macam balai di kawasan Pekan, Temerloh kita telah minta mereka buat rondaan secara kerap terutamanya bila hujan tak berhenti sehari dua kerana kita nak bantuan diberikan tanpa menunggu panggilan daripada mangsa terlibat.

“Semua balai di negeri ini juga telah melakukan latihan berkaitan penggunaan peralatan dan kerja-kerja menyelamat bagi menyesuaikan diri mereka dengan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19,” katanya.

Menurut beliau, pasukan bomba juga akan dibantu oleh anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah awal terutamanya melibatkan pemindahan pesakit Covid-19 atau mereka yang dikuarantinkan.

“Dalam Mesyuarat Bencana Negeri kita telah dimaklumkan bahawa KKM akan turut serta di dalam operasi yang akan dijalankan.

“Kita juga akan memastikan anggota memakai PPE ketika operasi menyelamat selain memastikan penjarakan dan mengehadkan bilangan orang di dalam bot dan trak penyelamat,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 116 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download