Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim
PEKAN, 14 MEI 2020: Penyerahan kit keselamatan kesihatan kepada 60 buah masjid menjadi salah satu usaha mencegah dan mengekang penyebaran wabak COVID-19 di daerah ini.
Ahli Parlimen Pekan, YB. Dato’ Sri Najib Tun Razak berkata, wabak berkenaan menjadi ancaman besar kepada masyarakat dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk menanganinya.
“Penyerahan kit ini diharap dapat membantu pihak masjid mengambil langkah pencegahan yang terbaik sepanjang tempoh kita berjuang ‘menentang’ wabak bahaya ini.
“Ia satu usaha penting bagi memastikan masjid tidak menjadi tempat penyebaran wabak apabila solat jemaah mengikut tatacara atau SOP pelaksanaan solat berjemaah di masjid dilaksanakan,” katanya ketika majlis penyerahan kit tersebut kepada 60 buah masjid di bawah Parlimen Pekan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Haji Zakaria Mohamad serta Kadi Daerah Pekan, Haji Mohd Aris Jamin.
Sementara itu, Dato’ Sri Najib dalam ucapannya turut menyampaikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan khususnya di daerah Pekan.
“Melihat kepada laporan tiada kes baru di daerah ini, saya pasti ia adalah usaha semua pihak yang bersusah payah menjalankan tanggungjawab masing-masing.
“Jadi saya berharap agar kita sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan seterusnya memastikan usaha yang dilaksanakan sepanjang menentang musuh yang kita tidak nampak ini berkesan ,” katanya. -PAHANGMEDIA