Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 19 OGOS 2020: Sebanyak 577 Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) di seluruh Negeri Pahang mematuhi Standard Operation Prosedur (SOP) sebagaimana ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kesemua sekolah tersebut telah dibenarkan beroperasi seperti biasa kerana berjaya mematuhi setiap SOP dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh KKM.
Beliau berkata, beberapa garis panduan yang disediakan perlu dipatuhi bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikekang sebaiknya.
“Kesemua sekolah ini telah memulakan operasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mengikut SOP COVID-19 yang telah ditetapkan kecuali sekolah pondok dan pusat tahfiz al-Quran kerana terdapat beberapa faktor perlu diselesaikan bagi memastikan SOP dipatuhi dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sarkafa Al-Huda Sungai Isap 2, di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi memastikan segala garis panduan dan SOP dapat dipatuhi dengan baik, kerajaan negeri memohon agar kesemua sekolah pondok dan pusat tahfiz dapat mendaftarkan institusi pengajian masing-masing bersama pihak kerajaan.
Sehingga kini, katanya, terdapat 89 sekolah pondok dan pusat tahfiz yang telah mendaftar, manakala sebanyak 72 yang masih belum mendaftar.
sehubungan itu, beliau memohon agar 72 sekolah pondok dan pusat tahfiz itu dapat mendaftar bagi membolehkan sebarang bantuan daripada kerajaan negeri dapat disalurkan.
“Mereka perlu mendaftar supaya kurikulum yang digunapakai dapat dipantau dan diselia oleh kerajaan di samping mengelakkan sebarang masalah timbul dapat diatasi.
“Bagi mengesahkan pendaftaran tersebut, beberapa agensi seperti pihak bomba, KKM dan pihak berkuasa tempatan akan menilai bagi memastikan sekolah terbabit adalah selamat dan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.
Pada lawatan itu, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim turut menyampaikan sumbangan kit keselamatan kesihatan seperti pelitup separuh muka dan keperluan lain. – PAHANGMEDIA