5,065 Peluang Pekerjaan Hasil Misi Perdagangan Singapura, China

Oleh Shahrinnahar Latib

KUANTAN : Sebanyak 5,065 peluang pekerjaan dijangka akan diwujudkan selepas hasil misi perdagangan Kerajaan Pahang ke negara Singapura dan China.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasil misi berkenaan, Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya menarik pelaburan kira-kira 1.134 bilion ringgit apabila menandatangani 11 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa syarikat di Singapura.

“Sebanyak 11 projek juga dicadangkan untuk dibangunkan di seluruh negeri ini dan dijangka akan membabitkan sebanyak 4,255 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong pada sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Sebelum itu, Encik Lee mahu tahu jumlah pelaburan diperoleh dari Singapura dan China selain peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Pahang juga bakal menerima kemasukan pelaburan dari China berjumlah 1.386 bilion ringgit ekoran termeterainya MoU dengan enam syarikat dari negara tembok besar itu.

“Sebanyak enam projek dicadangkan untuk dibangunkan di negeri ini dan akan mewujudkan sebanyak 810 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.



 50 total views,  2 views today

Please follow and like us:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: