Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin (kiri) bersama Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis pelancaran Tourism -Virtual Advisory Clinic (T-VAC) di Majlis Perbandaran Bentong hari ini.

5,000 BILIK HOTEL DITEMPAH SETAKAT SEMALAM DI PAHANG

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

BENTONG, 10 JUN 2020: Kira-kira 5,000 bilik hotel telah ditempah di negeri ini setelah kerajaan mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata jumlah tersebut diperoleh setakat 12 tengah hari semalam.

“Jumlah 5,000 bilik ini setakat 12 tengah hari semalam, hari ini tak masuk lagi tapi kita jangka ada banyak penambahan lagi.

“Kita dapat tahu Hotel Copthorne di Cameron Highlands ada dapat lebih daripada 600 tempahan, begitu juga penginapan di Pulau Tioman dan Taman Negara,” katanya.

Untuk rekod, terdapat 38,000 bilik di 500 buah hotel ditawarkan di seluruh negeri Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin (kanan).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pelancaran Tourism-Virtual Advisory Clinic (T-VAC) yang dilakukan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail secara panggilan video di Majlis Perbandaran Bentong hari ini.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Pengurus Besar Tourism Pahang, YH Dato’ Ishak Mokhtar.

Beliau berkata sektor perlancongan adalah sektor yang paling terjejas dengan penularan wabak COVID-19 ini.

“Tourism adalah industri yang paling teruk terjejas akibat wabak ini dan sektor ini juga merupakan sektor terakhir yang dapat pulih berbanding sektor lain yang turut terjejas.

“Banyak pemain industri ini yang terjejas dengan masalah kewangan akibat ketiadaan pelancong selama PKP dijalankan, dan norma baharu ini juga memerlukan kos yang tinggi untuk mereka kekal beroperasi.

“Sebagai contoh, bagi pengusaha bot Taman Negara, sebelum ini mereka boleh bawa enam orang pelancong dalam satu bot tetapi dengan norma baharu ini mungkin hanya tiga orang dibenarkan. Kos minyak yang ditanggung mereka tetap sama seperti sebelum ini dan ini mendatangkan masalah kepada para pengusaha,” katanya.

Beliau berkata kewujudan program T-VAC ini diharapkan dapat membantu pemain industri yang terjejas ini.

“Kerajaan Negeri telah bersedia untuk menghadapi realiti baharu, norma baharu dan kita telah pun melancarkan beberapa inisiatif penting terutamanya di bawah kuasa kerajaan.

“Dengan program T-VAC ini kita harap ia dapat membantu para pengusaha daripada segi membina kapasiti, untuk penyusunan semula perniagaan mereka dan cara untuk kembangkan perniagaan yang terjejas,” katanya.

Mengulas mengenai jangkaan untuk industri ini pulih semula sepenuhnya, beliau berkata ia bergantung kepada penemuan vaksin COVID-19.

“Untuk kita nyatakan bila nak pulih semula ini, selagi tak dapat vaksin memang kita tak dapat pulih.

“Tetapi walau bagaimana pun, hidup perlu diteruskan, jadi industri ini mesti kita kena terus laksanakan juga,” katanya.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: