Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Ihsan APM
BENTONG, 5 APRIL 2020: Seramai 47 individu dalam siasatan (PUI) atau kontak rapat pesakit COVID-19 yang sebelum ini kuarantin di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) di Bukit Tinggi di sini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula hari ini.
Kesemua mereka yang kuarantin sejak 20 Mac lalu itu dibenarkan pulang selepas disahkan negatif COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan yang membuat tiga kali ujian ke atas sampel yang diambil.
Menurut Penyelaras Stesen Kuarantin I-KPKT, Kapten (PA) Mohd Hafizi Zakaria berkata, pada hari ini seramai 21 PUI dibenarkan pulang dan sudah diambil oleh ahli keluarga masing-masing.
“Namun ada yang dihantar secara berkelompok oleh Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing. Yang selebihnya akan pulang secara berperingkat selepas ini.
“Kesemua yang dibenarkan pulang ini disahkan negatif oleh KKM. Sepanjang 14 hari mereka kuarantin, tiga kali sampel diambil dan kesemuanya negatif,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Stesen Kuarantin I-KPKT sebelum ini menempatkan seramai 99 PUI yang kesemuanya lelaki berusia antara 14 hingga 77 tahun.
“Daripada jumlah itu, seramai 23 PUI adalah warga asing. Setiap seorang daripada mereka ditempatkan di dalam satu bilik yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti penyaman udara, bilik air dan televisyen
“Mereka juga diberi makan empat kali sehari iaitu sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.
“Seramai 58 petugas ditempatkan di stesen ini yang terdiri daripada APM, polis, RELA, KKM, PGA dan JKM,” katanya. – PAHANGMEDIA