Antara pemenang dan penerima anugerah pada pameran Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kompleks Sukan UMP Gambang.

401 PRODUK PENYELIDIKAN DAN INOVASI DI CITREX 2020 UMP

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN: Sebanyak 401 produk penyelidikan dan inovasi dipertandingkan pada pameran Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kompleks Sukan UMP Gambang, di sini.

Penganjuran masuk tahun kesepuluh itu menyaksikan UMP terus menjadi medan penggalak dan penyuburan budaya inovasi dalam kalangan para penyelidik sama ada staf akademik, mahasiswa IPT awam dan swasta serta pelajar sekolah rendah dan menengah.

Sebanyak 218 penyertaan membabitkan Staf UMP, lapan penyertaan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), empat universiti awam termasuk Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UITM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) serta Universiti Sumatera Utara, Indonesia.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, YH. Dato’ Sri Ibrahim Ahmad (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah pada pameran Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kompleks Sukan UMP Gambang.

 

Selain itu, 129 penyertaan dari pelajar UMP sendiri dan 40 penyertaan daripada pelajar sekolah menengah dan rendah.

Pada majlis sama turut berlangsung pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara UMP dan NanoMalaysia Berhad (NanoMalaysia) dan PlaTCOM Ventures Sdn. Bhd. (PlaTCOM) berkaitan penggalakan aktiviti pengkomersialan teknologi di peringkat nasional serta antarabangsa yang berpusat di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Majlis menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr Kamal Zuhairi Zamli bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr. Rezal Khairi Ahmad manakala pihak PlaTCOM diwakili oleh Encik Muhammad Lofty Abdul Karim yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, YH. Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Prof. Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin.

Sementara itu, Prof. Dr Kamal Zuhairi berkata, kerjasama tersebut bakal memberi pendedahan yang lebih baik kepada penyelidik dan pelajar mengenai ekosistem pengkomersialan teknologi yang ada di Malaysia, selain peluang padanan dana, fasilitasi dan projek perniagaan bersama agensi yang terlibat serta rakan-rakan industri dari kedua belah pihak.

“Pendedahan terhadap teknologi terkini juga dapat membantu meningkatkan keupayaan dan taraf hidup sesebuah komuniti, serta dana dan fasilitasi yang boleh diterokai bagi menggunapakai teknologi termoden terutama kepada pemain industri setempat.

“Selain itu, ia bakal memberi impak kepada ekonomi negara serta peningkatan taraf hidup masyarakat setempat termasuk peningkatan kadar dan kapasiti pengkomersialan teknologi tempatan di peringkat dalam dan luar negara,” katanya. – PAHANGMEDIA

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error