4 Jabatan Kerajaan Pahang Terima Pencapaian Cemerlang Dalam Pengauditan Kewangan

KUANTAN 02 DISEMBER 2019 : Empat jabatan kerajaan di negeri ini memperoleh pencapaian cemerlang atau lima bintang dalam pengauditan kewangan berasaskan Indeks Akauntabiliti (AI) oleh Jabatan Audit Negara.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, empat jabatan kerajaan berkenaan adalah Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang (94.07 peratus), Pejabat Daerah dan Tanah Bentong (92.68 peratus), Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (91.92 peratus) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Pahang (91.60 peratus).

“Pengauditan kewangan AI ini dilaksanakan pada tahun lalu melibatkan 11 agensi negeri Pahang. Selain itu, lima jabatan mendapat empat bintang (baik) dan dua lagi jabatan mendapat tiga bintang (memuaskan),” katanya.

Beliau mengumumkan keputusan ini pada Program Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan pegawai kanan kerajaan.

Beliau berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2018 juga telah memperakukan bahawa kedudukan kewangan Negeri Pahang berada dalam keadaan stabil.

“Baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan negeri ini pada akhir Disember 2018 juga telah meningkat sebanyak RM2.09 juta iaitu 1.75 peratus.

“Peningkatan ini adalah dari RM119.63 juta pada 2017 kepada RM121.72 juta pada tahun 2018,” katanya.

 32 total views,  2 views today

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *