Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB. Dato’ Saifuddin Abdullah (tengah) bersama Ahli Dewan Negeri Beserah, YB. Andansura Rabu mengadakan Lawatan Hub Simpanan & Penyampaian Sumbangan COVID-19 Parlimen Indera Mahkota di Kota Sultan Ahmad Shah (SAS) di sini hari ini.

352 LAPORAN BERITA PALSU DITERIMA DI SELURUH NEGARA SETAKAT HARI INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali

KUANTAN, 04 APRIL 2020 : Sebanyak 352 kes berita palsu diterima pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis di seluruh negara setakat hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB. Dato’ Saifuddin Abdullah berkata jumlah berita palsu yang diterima juga menunjukkan peningkatan sepanjang penularan wabak COVID-19.

“Kita sangat dukacita kerana ternampak semacam ada peningkatan berita palsu yang berlaku sepanjang kes COVID-19 dan ini menyebabkan kita mengambil tindakan yang tegas.

“Ada dua pihak yang bertindak, yang pertama ialah SKMM, dan dari segi SKMM kita telah membuka 48 kertas siasatan, kemudian ada 24 siasatan aktif, enam telah dituduh di mahkamah, dan notis amaran telah diberi kepada lima pihak.

“Pihak polis dari segi kertas siasatan ada 136 kes, yang sedang dalam siasatan aktif ada 119 kes, 14 kes telah dituduh di mahkamah. Jadi keseluruhan kes yang dibuat oleh SKMM dan polis, adalah kertas siasatan dibuka 184 kes, siasatan aktif 143 kes, 20 kes telah dituduh di mahkamah, lima kes telah diberikan notis amaran,” katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB. Dato’ Saifuddin Abdullah (tengah) bersama Ahli Dewan Negeri Beserah, YB. Andansura Rabu mengadakan sidang media peda program Lawatan Hub Simpanan & Penyampaian Sumbangan COVID-19 Parlimen Indera Mahkota di Kota Sultan Ahmad Shah (SAS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Lawatan Hub Simpanan & Penyampaian Sumbangan COVID-19 Parlimen Indera Mahkota di Kota Sultan Ahmad Shah (SAS) di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Beserah, YB. Andansura Rabu.

Beliau berkata penularan berita palsu ini bukanlah perkara yang baik kerana tidak membantu pihak kerajaan dalam mengatasi masalah COVID-19 ini.

“Tindakan ini (penyebaran berita palsu) menyebabkan kita di SKMM menubuhkan pasukan respon pantas yang pada setiap hari terpaksa menjawab atau menafikan purata lima atau enam berita yang tersebar terutamanya dalam media sosial.

“Ada sebahagian kes,kita terus ambil siasatan dan sebagainya tapi sesetengah kes akan mengambil masa untuk disiasat. Kita kena nafikan dulu dan ini menjadi satu tugas yang terpaksa kita laksanakan,” katanya.

Beliau berharap supaya orang ramai memberikan kerjasama dengan tidak menularkan perkara yang tidak diketahui kesahihannya.

“Saya harap anggota masyarakat haruslah memberi kerjasama jangan forward benda-benda yang kita tak tahu. Kalau kita sangsi, telefon hotline semua agensi kerajaan yang ada hotline sekarang tanya betul-betul atau boleh saja lihat secara online di sebenarnya.my.

“Sebenarnya.my akan membantu mengesahkan sama ada sesuatu berita yang tular itu sahih atau pun tidak sebab kita tak nak rakyat terkeliru, kita juga tak nak rakyat jadi gusar atau panik tak tentu pasal dan yang sedihnya juga ada juga yang tular bersifat perkauman. Dan itu bukan perkara yang baik dalam suasana kita berhadapan dengan musuh yang besar seperti COVID-19 ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota melaksanakan tujuh aktiviti bagi membendung penularan wabak COVID-19 di Parlimen Indera Mahkota.

“Aktiviti 1 melibatkan pemberian makanan kepada 300 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 200 petugas barisan hadapan; Aktiviti 2 adalah sumbangan barangan dapur sebanyak 4,000 bungkus; Aktiviti 3, mengedarkan 500 unit pelindung muka (face shield) kepada petugas barisan hadapan; dan Aktiviti 4, mengedarkan 1,000 unit topeng muka dan pembersih tangan kepada petugas barisan hadapan.

“Aktiviti 5 pula kita memberikan bantuan berupa lampin pakai buang, susu dan lain-lain barangan bayi kepada 1,000 penerima; Aktiviti 6, mengedarkan barangan keperluan peribadi seperti tuala wanita, lampin pakai buang dewasa dan lain-lain kepada 1,000 penerima; dan Aktiviti 7, menyediakan satu unit kedai ihsan daripada pemaju KotaSAS sebagai pusat operasi,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: