Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan replika kunci rumah kepada salah seorang pemilik rumah PR1MA pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang Kuala Lanar, di Dewan Residen, Lipis, semalam.

33,434 UNIT RUMAH PR1MA UNTUK RAKYAT PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LIPIS, 8 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang telah meluluskan sebanyak 143 projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang di seluruh negeri ini melibatkan sebanyak 33,434 unit rumah.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini berikutan permintaan yang tinggi di kalangan rakyat Pahang dan mendapat tempat di hati rakyat sejak beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran.

“Alhamdulilah, PR1MA Pahang bertambah matang dalam menyediakan perumahan mampu milik di kalangan penduduk Pahang dan kini menjadi pilihan utama rakyat dalam memiliki kediaman masing-masing,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan replika kunci rumah kepada salah seorang pemilik rumah PR1MA pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang Kuala Lanar, di Dewan Residen, Lipis, semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Kuala Lanar di Dewan Residen, di sini, semalam.

Katanya, rakyat Pahang sangat beruntung kerana diperintah oleh kerajaan yang prihatin dengan keperluan rakyat dalam memiliki rumah sendiri.

Justeru, kerajaan turut menitikberatkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang berhasrat memiliki rumah yang selesa.

Berdasarkan laporan daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, harga purata rumah di Pahang ialah RM244,890 dan harga rumah PR1MA yang ditawarkan kerajaan negeri adalah berada di bawah harga purata iaitu RM150,000.

Projek PR1MA ini tidak hanya tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah sahaja malah turut diperluas kepada golongan berpendapatan sederhana kerana pihak kerajaan Pahang menyedari masalah yang dihadapi mereka untuk memiliki rumah pertama khususnya melibatkan generasi muda.

Bagi penambahbaikan projek PR1MA Pahang, kerajaan negeri telah meluluskan Dasar Rumah Makmur jenis teres setingkat dengan harga RM80,000 seunit dengan sasaran ialah golongan berpendapatan rendah di bawah RM5,000 satu isi rumah.

Sehingga kini kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 25 projek Rumah Makmur di seluruh negeri. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download